TIADA SESUATU YANG
SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR.
Kalam-kalam Hikmat
pertama hingga ke sebelas telah memberi gambaran tentang keperibadian tauhid
yang halus-halus. Seseorang yang mencintai Allah s.w.t dan mahu berada di
sisi-Nya sangat ingin untuk mencapai keperibadian yang demikian. Dalam
membentuk keperibadian itu dia gemar mengikuti landasan syariat, kuat beribadat
dan menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan dosa.
Dia sering bangun pada
malam hari untuk melakukan sembahyang tahajud dan selalu pula melakukan puasa
sunat. Dia menjaga tingkah-laku dan akhlak dengan mencontohi apa yang
ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Hasil daripada kesungguhannya itu terbentuklah
padanya keperibadian seorang muslim yang baik. Walaupun demikian dia masih
tidak mencapai kepuasan dan kedamaian. Dia masih tidak mengerti tentang Allah
s.w.t. Banyak persoalan yang timbul di dalam kepalanya yang tidak mampu
dihuraikannya. Dia telah bertanya kepada mereka yang alim, tetapi dia tidak
mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Jika ada pun jawapan yang baik
disampaikan kepadanya dia tidak dapat menghayati apa yang telah diterangkan
itu. Dia mengkaji kitab-kitab tasauf yang besar-besar. Ulama tasauf
telah memberikan penjelasan yang mampu diterima oleh akalnya namun, dia masih
merasakan kekosongan di satu sudut di dalam dirinya. Bolehlah dikatakan yang
dia sampai kepada perbatasan akalnya.
Hikmat ini memberi
petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan akalnya. Jalan
yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai. Jika dalam
suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam suasana uzlah
hati mampu membantu akal secara tafakur, merenungi perkara-perkara yang tidak
boleh difikirkan oleh akal biasa. Uzlah yang disarankan oleh Hikmat 12 ini
bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang berterusan tetapi ia adalah satu
bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan rohani agar akalnya dapat menerima
pancaran Nur Kalbu kerana tanpa sinaran Nur Kalbu tidak mungkin akal dapat
memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, dan tidak akan diperolehi iman
dan tauhid yang hakiki.
Hati adalah bangsa
rohani atau nurani iaitu hati berkemampuan mengeluarkan nur jika ia berada di
dalam keadaan suci bersih. nur yang dikeluarkan oleh hati yang suci bersih itu
akan menerangi otak yang bertempat di kepala yang menjadi kenderaan akal. Akal
yang diterangi oleh nur akan dapat mengimani perkara-perkara ghaib yang tidak
dapat diterima oleh hukum logik. Beriman kepada perkara ghaib menjadi jalan
untuk mencapai tauhid yang hakiki.
Nabi Muhammad
s.a.w sebelum diutus sebagai Rasul pernah juga mengalami kebuntuan akal tentang
hal ketuhanan. Pada masa itu ramai pendeta Nasrani dan Yahudi yang arif tentang
hal tersebut, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada mereka untuk
mendapatkan jawapan yang mengganggu fikiran baginda s.a.w, sebaliknya baginda
s.a.w telah memilih jalan uzlah. Ketika umur baginda s.a.w 36 tahun baginda
s.a.w melakukan uzlah di Gua Hiraa. Baginda s.a.w tinggal sendirian di dalam
gua yang sempit lagi gelap, terpisah dari isteri, anak-anak, keluarga,
masyarakat hinggakan cahaya matahari pun tidak menghampiri baginda s.a.w.
Amalan uzlah yang demikian baginda s.a.w lakukan secara berulang-ulang sehingga
umur baginda s.a.w mencapai 40 tahun. Masa yang paling baginda s.a.w gemar
beruzlah di Gua Hiraa’ ialah pada bulan Ramadan. Latihan uzlah yang baginda
lakukan dari umur 36 hingga 40 tahun itu telah memantapkan rohani baginda s.a.w
sehingga berupaya menerima tanggungjawab sebagai Rasul. Latihan semasa uzlah
telah menyucikan hati baginda s.a.w dan meneguhkannya sehingga hati itu mampu
menerangi akal untuk mentafsir wahyu secara halus dan lengkap. Wahyu yang
dibacakan oleh Jibrail a.s hanyalah singkat tetapi Rasulullah s.a.w dapat
menghayatinya, memahaminya dengan tepat, mengamalkannya dengan tepat dan
menyampaikannya kepada umatnya dengan tepat meskipun baginda s.a.w tidak tahu
membaca dan menulis.
Begitulah kekuatan
dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. Tanpa latihan dan
persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan tafakur tentang
ketuhanan. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan dan kekuatan
akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh tembok kebuntuan itu dia
akan jatuh ke dalam jurang gila.
Orang awam hidup
dalam suasana: “Tugas utama adalah menguruskan kehidupan harian dan tugas
sambilan pula menghubungkan diri dengan Allah s.w.t”. Orang yang di dalam
suasana ini sentiasa ada masa untuk apa juga aktiviti tetapi sukar mencari
kesempatan untuk bersama-sama Allah s.w.t. Orang yang seperti ini jika
diperingatkan supaya mengurangkan aktiviti kehidupannya dan memperbanyakkan
aktiviti perhubungan dengan Allah s.w.t mereka memberi alasan bahawa Rasulullah
s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w tidak meninggalkan dunia lantaran sibuk
dengan Allah s.w.t. Mereka ini lupa atau tidak mengerti bahawa Rasulullah s.a.w
dan para sahabat telah mendapat wisal atau penyerapan hal yang berkekalan. Hati
mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t. Kesibukan menguruskan urusan
harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik pun. Orang
yang mata hatinya masih tertutup dan cermin hatinya tidak menerima pancaran Nur
Sir, tidak mungkin hatinya berhadap kepada Allah s.w.t ketika sedang
sibuk melayani makhluk Allah s.w.t. Orang yang insaf akan kelemahan dirinya
akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh
para sahabat iaitu memisahkan diri dengan semua jenis kesibukan terutamanya
pada satu pertiga malam yang akhir. Tidak ada hubungan dengan orang ramai.
Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat khabar, radio dan
televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu kecuali perhubungan
dengan Allah s.w.t.
Dalam perjalanan
tarekat tasauf amalan uzlah dilakukan dengan bersistematik
dan latihan yang demikian dinamakan suluk. Orang yang menjalani suluk dinamakan
murid atau salik. Si salik menghabiskan kebanyakan daripada masanya di dalam
bilik khalwat dengan diawasi dan dibimbing oleh gurunya. Latihan bersuluk
memisahkan salik dengan hijab yang paling besar bagi orang yang baharu
menjalani jalan kerohanian iaitu pergaulan dengan orang ramai. Imannya belum
cukup teguh dan mudah menerima rangsangan daripada luar yang boleh
menggelincirkannya untuk melakukan maksiat dan melalaikan hatinya daripada
mengingati Allah s.w.t. Apabila dia dipisahkan dari dunia luar jiwanya lebih
aman dan tenteram mengadakan perhubungan dengan Allah s.w.t.
Semasa beruzlah,
bersuluk atau berkhalwat, si murid bersungguh-sungguh di dalam bermujahadah
memerangi hawa nafsu dan tarikan duniawi. Dia memperbanyakkan sembahyang, puasa
dan berzikir. Dia mengurangkan tidur kerana memanjangkan masa beribadat. Kegiatan
beribadat dan pelepasan ikatan nafsu dan duniawi menjernihkan cermin hatinya.
Hati yang suci bersih menghala ke alam ghaib iaitu Alam Malakut. Hati
mampu menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib. Isyarat yang diterimanya
hanyalah sebentar tetapi cukup untuk menarik minatnya bagi mengkaji apa yang
ditangkap oleh hatinya itu. Terjadilah perbahasan di antara fikirannya dengan
dirinya sendiri. Pada masa yang sama dia menjadi penanya dan penjawab, murid
dan pengajar. Perbahasan dengan diri sendiri itu dinamakan tafakur.
Pertanyaan timbul
dalam fikirannya namun, fikirannya tidak dapat memberi jawapan. Ketika
fikirannya meraba-raba mencari jawapan, dia mendapat bantuan daripada hatinya
yang sudah suci bersih. Hati yang berkeadan begini mengeluarkan nur yang menerangi
akal, lalu jalan fikirannya terus menjadi terang. Sesuatu persoalan yang pada
mulanya difikirkan rumit dan mengelirukan, tiba-tiba menjadi mudah dan terang.
Dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya kepada persoalan yang dahulunya
mengacau fikiran dan jiwanya. Dia menjadi bertambah berminat untuk bertafakur
menghuraikan segala kekusutan yang tidak dapat dihuraikannya selama ini. Dia
gemar merenung segala perkara dan berbahas dengan dirinya, menghubungkannya
dengan Tuhan sehingga dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Semakin dia
bertafakur semakin terbuka kegelapan yang menutupi fikirannya. Dia mula
memahami tentang hakikat, hubung-kait antara makhluk dengan Tuhan, rahasia Tenaga Ilahi dalam perjalanan alam dan
sebagainya.
Isyarat-isyarat
tauhid yang diterima oleh hatinya membuat mata hatinya melihat bekas-bekas
Tangan Allah s.w.t dalam alam maya ini. Dia dapat melihat bahawa semuanya
adalah ciptaan Allah s.w.t, gubahan-Nya, lukisan-Nya dan peraturan-Nya. Hasil
dari kegiatan bertafakur tentang Tuhan membawa dia bermakrifat kepada Allah
s.w.t melalui akalnya. Makrifat secara akal menjadi kemudi baginya untuk
mencapai makrifat secara zauk.
Dalam pengajian
ketuhanan akal hendaklah tunduk mengakui kelemahannya. Akal hendaklah sedar
bahawa ia tidak mampu memahami perkara ghaib. Oleh itu akal perlu meminta
bantuan hati. Hati perlu digilap supaya bercahaya. Dalam proses menggilap hati
itu akal tidak perlu banyak mengadakan hujah. Hujah akal melambatkan proses
penggilapan hati. Sebab itulah Hikmat 12 menganjurkan supaya mengasingkan diri.
Di dalam suasana pengasingan nafsu menjadi lemah dan akal tidak lagi mengikut
telunjuk nafsu. Baharulah hati dapat mengeluarkan cahayanya. Cahaya hati
menyuluh kepada alam ghaib. Apabila alam ghaib sudah terang benderang baharulah
akal mampu memahami hal ketuhanan yang tidak mampu dihuraikannya sebelum itu.
0 comments:
Post a Comment