USAHA KAMU UNTUK
MENYINGKAP KEAIBAN YANG TERSEMBUNYI DALAM DIRI KAMU ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA
USAHA KAMU UNTUK TERBUKA BAGI KAMU TIRAI GHAIB.
Sekiranya kita mengamati Kalam-kalam
Hikmat yang telah dihuraikan terlebih dahulu, kita akan mendapati bahawa
suasana yang terbaik dan kurang baik sering digandingkan. Kita akan lebih
tercenderung untuk melihat kepada suasana yang terbaik, dengan itu mengarahkan
usaha kita menuju ke arahnya. Tetapi, kita tidak terlepas daripada sifat jahil
dan tergopoh gapah. Kita mudah terkeliru dalam memilih jalan serta tidak sabar
menanti hasil yang baik. Sebelum kita melencung lebih jauh, Hikmat 40 ini
memberi teguran dan petunjuk jalan yang betul. Kita tidak seharusnya hanya
asyik memandang kepada mereka yang dipilih untuk sampai kepada Allah s.w.t dan
dibukakan kepada mereka ini tabir yang menutup segala keghaiban. Walaupun kita
terpesona dengan pencapaian yang telah mereka perolehi, kita tidak sepatutnya
mengarahkan semangat dan usaha gigih untuk mencapai keadaan yang serupa. Sudah
menjadi kebiasaan untuk sebahagian ahli tarekat mengarahkan amal ibadat dan
zikir bagi tujuan menyingkap tabir ghaib. Beberapa jenis zikir diamalkan untuk
memecahkan hijab-hijab tertentu. Zikir-zikir secara demikian tidak menyampaikan
seseorang hamba kepada Tuhannya. Setelah mereka banyak berzikir namun, hati
mereka masih berasa jauh daripada Tuhan, maka mereka mula berasa berputus-asa
dan timbullah keraguan di dalam hatinya. Keadaan yang demikian terjadi kepada
orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kedudukan.
Ada pula orang yang menjadikan
zikir sebagai alat untuk memperolehi kekeramatan. Di tengah jalan mereka
mendapat jazbah khadam lalu dibawa ke alam khadam. Terpesonalah mereka dengan
berbagai-bagai makhluk halus yang mempamerkan berbagai-bagai keanehan sehingga
lupalah mereka kepada Allah s.w.t yang menjadi maksud dan tujuan. Mereka tidak
lagi meminta kepada Allah s.w.t tetapi meminta kepada khadam. Bertambah
teballah dinding antara mereka dengan tauhid yang hakiki. Kalam Hikmat di atas
menarik orang yang baharu dalam perjalanan supaya menetapkan kaki atas landasan
yang betul iaitu dengan memerhatikan kepada diri sendiri, memeriksa segala
keaiban diri dan memperbetulkannya, sesuai dengan firman Allah s.w.t:
Dan juga pada diri
kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan
(dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )
Ungkapan yang popular di kalangan
ahli tasauf adalah:
Siapa yang kenal dirinya
kenallah Tuhannya. Siapa yang kenal Tuhannya binasalah jasadnya.
Usaha menyingkap keghaiban
yang menyelimuti diri sendiri adalah sebaik-baik pekerjaan untuk mencapai
tujuan. Kenalilah keaslian diri sendiri yang suci murni. Ia tidak dapat
mengeluarkan cahayanya kerana ditutup oleh keaiban dan kekotoran yang melekat
di hati. Arahkan usaha dan perhatian untuk mencari keaiban dan kekotoran
tersebut, agar dapat dihapuskan dan dibersihkan. Apabila kulit yang membalut
keaslian itu sudah terbuang baharulah diri kita dapat memancarkan sinarnya.
Allah s.w.t adalah nur bagi langit dan bumi. Apabila Nurullah memancar dari
Hadrat Ilahi dan bertemu dengan Nurullah yang memancar dari lubuk hati nurani
hamba, maka terjadilah pertemuan Nurullah dari atas dengan Nurullah dari bawah:
Cahaya berlapis
cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan
peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan
berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Hamba menyaksikan ketuhanan
Allah s.w.t dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba. Inilah makam
musyahadah. Sekiranya kita mahu mencapai makam ini berusahalah menyucikan diri
sendiri kemudian berserah terus kepada Allah s.w.t. Kuncinya ialah firman
Allah:
Katakanlah (kepada
mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka
leka bermain-main dalam kesesatannya. ( Ayat 91 : Surah al-An’aam )
Hanya orang yang benar-benar
berserah diri kepada Allah s.w.t boleh berkata: “Allah yang berkuasa! Allah
yang mengetahui! Allah itu dan Allah ini. Allah segala-galanya”. Kemudian
mereka berpegang teguh dengan pengakuan itu dan tidak memperdulikan lagi apa
yang terjadi. Allah s.w.t menyambut para hamba yang demikian dengan firman-Nya:
Sesungguhnya
orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami
ialah Allah!”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan
turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi
ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya perkara yang tidak baik
terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita
gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. ( Ayat 30 : Surah Fussilat )
Jalan untuk mencapai keteguhan
hati adalah dengan berserah diri kepada Allah s.w.t. Keteguhan hati membawa
seseorang kepada syurga semasa hidupnya. Syurga ini dinamakan makrifat dan ia
lebih indah daripada syurga akhirat kerana syurga akhirat adalah makhluk
sedangkan syurga makrifat adalah Empunya syurga akhirat itu. Jika syurga
akhirat itu sangat indah dan sangat sejahtera maka Empunya syurga itu Maha
Indah dan Maha Sejahtera. Apalah nilai keindahan di sisi Pemilik yang melahirkan
keindahan, semua keindahan adalah pancaran Keindahan-Nya. Inilah nikmat yang
Allah s.w.t sediakan kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup terjun ke dalam
dirinya sendiri dan melupakan yang lain-lainnya, tidak mengejar kemuliaan
duniawi dan ukhrawi, tidak mencari kasyaf dan kekeramatan, tidak menuntut
sesuatu apa pun kecuali menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t dan reda
dengan semua keputusan-Nya.
Sumber: Tarjamah Kitab Al-Hikam
Karya: Ibnu Ato'illah Al-Asykandari
0 comments:
Post a Comment