ALAM SEKALIANNYA
ADALAH KEGELAPAN DAN YANG MENERANGKANNYA ADALAH KERANA PADANYA KELIHATAN
YANG HAQ (TANDA-TANDA ALLAH S.W.T). BARANGSIAPA MELIHAT ALAM TETAPI DIA
TIDAK MELIHAT ALLAH S.W.T SAMA ADA DALAMNYA, DI SAMPINGNYA,
SEBELUMNYA , ATAU SESUDAHNYA, MAKA DIA BENAR-BENAR MEMERLUKAN WUJUDNYA CAHAYA-CAHAYA
ITU DAN TERTUTUP BAGINYA CAHAYA MAKRIFAT OLEH TEBALNYA AWAN BENDA-BENDA ALAM.
Alam ini pada hakikatnya adalah
gelap atau ‘adam, tidak wujud. Wujud Allah s.w.t yang menerbitkan kewujudan
alam. Tidak ada satu kewujudan yang berpisah daripada Wujud Allah s.w.t.
Hubungan Wujud Allah s.w.t dengan kewujudan makhluk sekiranya dibuat ibarat
(sebenarnya tidak ada sebarang ibarat yang mampu menjelaskan hakikat yang
sebenarnya), perhatikan kepada api yang dipusing dengan laju. Kelihatanlah pada
pandangan kita bulatan api. Perhatikan pula kepada orang yang bercakap, akan
kedengaranlah suara yang dari mulutnya. Kemudian perhatikan pula kepada
kasturi, akan terhidulah baunya yang wangi. Wujud bulatan api adalah wujud yang
berkaitan dengan wujud api. Wujud suara adalah wujud yang berkaitan dengan
wujud orang yang bercakap. Wujud bau wangi adalah wujud yang berkaitan dengan
wujud kasturi. Wujud bulatan api, suara dan bau wangi pada hakikatnya tidak
wujud. Begitulah ibaratnya wujud makhluk yang menjadi terbitan daripada Wujud
Allah s.w.t. Wujud bulatan api adalah hasil daripada pergerakan api. Wujud
suara adalah hasil daripada perbuatan orang yang bercakap. Wujud bau wangi
adalah hasil daripada sifat kasturi. Bulatan api bukanlah api tetapi bukan lain
daripada api dan tidak terpisah daripada api. Suara bukanlah orang yang
bercakap tetapi bukan pula lain daripada orang yang bercakap. Walaupun orang
itu sudah tidak bercakap tetapi masih banyak lagi suara yang tersimpan padanya.
Bau wangi bukanlah kasturi tetapi bukan pula lain daripada kasturi. Walaupun
bulatan api boleh kelihatan banyak, suara kedengaran banyak, bau dinikmati oleh
ramai orang namun, api hanya satu, orang yang bercakap hanya seorang dan
kasturi yang mengeluarkan bau hanya sebiji.
Agak sukar untuk memahami
konsep ada tetapi tidak ada, tiada bersama tetapi tidak berpisah. Inilah konsep
ketuhanan yang tidak mampu dipecahkan oleh akal tanpa penerangan nur yang dari
lubuk hati. Mata hati yang diterangi oleh Nur Ilahi dapat melihat perkaitan
antara ada dengan tidak ada, tidak bersama tetapi tidak berpisah. Atas kekuatan
hatinya menerima sinaran Nur Ilahi menentukan kekuatan mata hatinya melihat
kepada keghaiban yang tidak berpisah dengan kejadian alam ini. Ada 4 tingkatan
pandangan mata hati terhadap perkaitan alam dengan Allah s.w.t yang menciptakan
alam.
1: Mereka yang melihat Allah
s.w.t dan tidak melihat alam ini. Mereka adalah umpama orang yang hanya melihat
kepada api, bulatan api yang khayali tidak menyilaukan pandangannya. Walaupun
mereka berada di tengah-tengah kesibukan makhluk namun, mata hati mereka tetap
tertumpu kepada Allah s.w.t, tidak terganggu oleh kekecuhan makhluk. Lintasan
makhluk hanyalah umpama cermin yang ditembusi cahaya. Pandangan mereka tidak
melekat pada cermin itu.
2: Mereka yang melihat makhluk
pada zahir tetapi Allah s.w.t pada batin. Mata hati mereka melihat alam sebagai
penzahiran sifat-sifat Allah s.w.t. Segala yang maujud merupakan kitab yang
menceritakan tentang Allah s.w.t. Tiap satu kewujudan alam ini membawa sesuatu
makna yang menceritakan tentang Allah s.w.t.
3: Mereka yang melihat Allah
s.w.t pada zahirnya sementara makhluk tersembunyi. Mata hati mereka terlebih
dahulu melihat Allah s.w.t sebagai Sumber kepada segala sesuatu, kemudian
baharulah mereka melihat makhluk yang menerima kurniaan daripada-Nya. Alam
tidak lain melainkan perbuatan-Nya, gubahan-Nya, lukisan-Nya atau hasil kerja
Tangan-Nya.
4: Mereka yang melihat makhluk
terlebih dahulu kemudian baharulah melihat Allah s.w.t. Mereka memasuki jalan
berhati-hati dan berwaspada, memerlukan masa untuk menghilangkan keraguan,
berdalil dengan akal sehingga kesudahannya ternyatalah akan Allah s.w.t yang
Wujud-Nya menguasai wujud makhluk.
Selain yang dinyatakan di atas
tidak lagi dipanggil orang yang melihat Allah s.w.t. Gambar-gambar alam,
syahwat, kelalaian dan dosa menggelapkan cermin hati mereka hingga tidak
mampu menangkap cahaya yang membawa kepada makrifat. Mereka gagal untuk
melihat Allah s.w.t sama ada di dalam sesuatu, di samping sesuatu, sebelum
sesuatu atau sesudah sesuatu. Mereka hanya melihat makhluk seolah-olah makhluk
berdiri dengan sendiri tanpa campur tangan Tuhan.
Anasir alam dan sekalian
peristiwa yang berlaku merupakan perutusan yang membawa perkhabaran tentang
Allah s.w.t. Perkhabaran itu bukan didengar dengan telinga atau dilihat dengan
mata atau difikir dengan akal. Ia adalah perkhabaran ghaib yang menyentuh jiwa.
Sentuhan tangan ghaib pada jiwa itulah yang membuat hati mendengar tanpa
telinga, melihat tanpa mata dan merenung tanpa akal fikiran. Hati hanya
mengerti setiap perutusan yang disampaikan oleh tangan ghaib kepadanya dan hati
menerimanya dengan yakin. Keyakinan itu menjadi kunci kepada telinga, mata dan
akal. Apabila kuncinya telah dibuka, segala suara alam yang didengar, sekalian
anasir alam yang dilihat dan seluruh alam maya yang direnungi akan membawa
cerita tentang Tuhan. Abid mendengar, melihat dan merenungi Keperkasaan Tuhan.
Asyikin mendengar, melihat dan merenungi keindahan Tuhan. Muttakhaliq
mendengar, melihat dan merenungi kebijaksanaan dan kesempurnaan Tuhan. Muwahhid
mendengar, melihat dan merenungi keesaan Tuhan.
Iaitu hari mereka
keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi
kepada Allah sesuatupun darihal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah
berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?” (Allah sendiri
menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Mengatasi
kekuasaan-Nya segala-galanya!” ( Ayat 16 : Surah Mu’min )
Mereka telah
mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa
kepada mereka sebagai balasan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa. (
Ayat 42 : Surah al-Qamar )
Ayat-ayat seperti yang di atas
menggetarkan jiwa abid. Hati abid sudah ‘berada’ di akhirat. Alam dan kehidupan
ini menjadi ayat-ayat atau tanda-tanda untuknya melihat keadaan dirinya di
akhirat kelak, menghadap Tuhan Yang Esa, Maha Perkasa, tiada sesuatu yang
tersembunyi daripada-Nya.
Dialah yang telah
mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak
dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang
tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi
pandangan(mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah
pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu
dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan
lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). ( Ayat 3 & 4 : Surah
al-Mulk )
Asyikin memandang kepada alam
ciptaan dan dia mengulang-ulangi pemandangannya. Semakin dia memandang kepada
alam semakin dia melihat kepada keelokan dan kesempurnaan Pencipta alam. Dia
asyik dengan apa yang dipandangnya.
Dialah Allah, Yang
Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang
Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nya
jualah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya
segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang tidak ada tuluk
banding-Nya, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 24 : Surah al-Hasy-r )
Muttakhaliq menyaksikan sifat-sifat
Tuhan yang dikenal dengan nama-nama yang baik. Alam adalah perutusan untuknya
mengetahui nama-nama Allah s.w.t dan sifat-sifat Kesempurnaan-Nya. Setiap yang
dipandang menceritakan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Sesungguhnya Akulah
Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikan
sembahyang untuk mengingati Daku. ( Ayat 14 : Surah Taha )
Muwahhid fana dalam Zat. Kesedaran
dirinya hilang. Melalui lidahnya muncul ucapan-ucapan seperti ayat di atas. Dia
mengucapkan ayat-ayat Allah s.w.t, bukan dia bertukar menjadi Tuhan.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi
Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu
bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan
(hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada
Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan)
orang-orang yang sesat. ( Ayat 1 – 7 : Surah al-Faatihah )
Mutahaqqiq kembali kepada kesedaran
keinsanan untuk memikul tugas membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t.
Hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t dan bergantung kepada-Nya.
Kehidupan ini adalah medan dakwah baginya. Segala anasir alam adalah alat untuk
dia memakmurkan bumi.
Apabila Nur Ilahi menerangi
hati apa sahaja yang dipandang akan kelihatanlah Allah s.w.t di sampingnya atau
sebelumnya atau sesudahnya.
0 comments:
Post a Comment