TANDA AKAN BERJAYA
PADA AKHIR PERJUANGAN ADALAH KUAT MENYERAH DIRI KEPADA ALLAH S.W.T PADA AWAL
PERJUANGAN.
BARANGSIAPA CEMERLANG
PERMULAANNYA, AKAN CEMERLANGLAH KESUDAHANNYA.
Hikmah merumuskan intisari
kesemua Kalam Hikmat yang dihuraikan terlebih dahulu. Berserah diri kepada
Allah s.w.t, bertawakal kepada-Nya dan mengembalikan segala urusan kepada-Nya
adalah jalan untuk mendekati Allah s.w.t. Kesemua ini boleh diibaratkan sebagai
kenderaan, sementara ilmu dan amal diibaratkan sebagai roda. Sesiapa yang hanya
membina roda tetapi tidak membina kenderaan maka dia akan memikul roda bukan
menaiki kenderaan. Dia akan keletihan dan berhenti di tengah jalan sambil asyik
bermain-main dengan roda seperti kanak-kanak.
Persoalan menyerah diri sering
menimbulkan kekeliruan kepada orang yang berlarutan membincangkan mengenainya.
Suasana hati dan darjat akal mengeluarkan berbagai-bagai huraian tentang
berserah diri kepada Allah s.w.t. Ada orang beranggapan berserah diri adalah
berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa. Ada pula berpendapat orang yang
berserah diri itu hidup dalam ibadat semata-mata, tidak memperdulikan kehidupan
harian. Banyak lagi anggapan dan pendapat yang dikemukakan dalam menjelaskan
mengenai berserah diri. Sifat orang yang berserah diri adalah merujuk sesuatu
perkara yang diperselisihkan kepada Allah s.w.t. Mereka tidak taasub memegang
sesuatu fahaman yang diperolehi melalui fikirannya atau pendapat orang lain.
Mereka bersedia melepaskan fahaman dan pendapat peribadi sekiranya ia
bercanggah dengan peraturan dan hukum Tuhan. Sewaktu hidup di dalam dunia ini
lagi mereka mengembalikan segala urusan kepada Allah s.w.t kerana mereka yakin
bahawa diri mereka dan urusan mereka akan kembali juga kepada Allah s.w.t di
akhirat kelak. Perjumpaan dengan Allah s.w.t di akhirat menguasai tindakan
mereka sewaktu hidup di dunia ini.
Dan (katakanlah wahai
Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara agama yang kamu
berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim
yang demikian kekuasaan-Nya ialah Allah Tuhanku; kepada-Nya jualah aku berserah
diri dan kepada-Nya jualah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”. ( Ayat 10 : Surah asy-Syura )
Orang yang berserah diri
kepada Allah s.w.t, mengembalikan urusan mereka kepada-Nya, meyakini bahawa
golongan manusia yang benar-benar mengerti kehendak Allah s.w.t adalah golongan
nabi-nabi. Oleh itu pegangan dan tindakan para anbia mesti dijadikan sandaran
dalam membentuk pegangan peribadi dan juga dalam melakukan tindakan.
Dan ia (Yaakub)
berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari
sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang
berlain-lain. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan
kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan
sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nya jualah
aku berserah diri, dan kepada-Nya jualah hendaknya berserah diri orang-orang
yang mahu berserah diri”. ( Ayat 67 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan sifat
berserah diri yang ada pada Nabi Yaakub a.s. Beliau a.s menasihatkan
anak-anaknya yang sebelas orang itu memasuki kota Mesir melalui pintu-pintu
yang berlainan. Ia menunjukkan Nabi Yaakub a.s mengakui tuntutan berikhtiar
sebagaimana kedudukan mereka sebagai manusia. Walaupun begitu Nabi Yaakub a.s
mengingatkan pula anak-anaknya bahawa mengikuti nasihat beliau a.s bukanlah
jaminan yang anak-anaknya akan selamat dan mendapatkan apa yang mereka cari.
Ikhtiar pada zahir mesti disertai dengan iman pada batin. Orang yang beriman
meyakini bahawa Allah s.w.t sahaja yang mempunyai kuasa penentuan. Oleh yang
demikian orang yang beriman dituntut agar berserah diri kepada Allah s.w.t
sahaja, tidak berserah diri kepada yang lain, sekalipun yang lain itu adalah
malaikat, wali-wali ataupun ayat-ayat Allah s.w.t. Allah s.w.t yang menguasai
malaikat, wali-wali dan ayat-ayat-Nya. Penyerahan bulat kepada Allah s.w.t
bukan kepada sesuatu yang dinisbahkan kepada-Nya. Perkara ini dinyatakan oleh
Nabi Hud a.s sebagaimana yang diceritakan oleh ayat berikut:
“Kerana sesungguhnya
aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah
sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah
jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus”. ( Ayat 56 : Surah Hud )
Tuhan berada di atas jalan yang
lurus. Tuhan tidak mengantuk, tidak lalai, tidak keliru dan tidak melakukan
kesilapan. Apa sahaja yang Tuhan lakukan adalah benar dan tepat. Tuhan berbuat
sesuatu atas dasar ketuhanan dan dengan sifat ketuhanan, tidak ada pilih kasih.
Dia adalah Tuhan Yang Maha Adil. Pekerjaan-Nya adalah adil. Dia adalah Tuhan
Yang Maha Mengerti dan Maha Bijaksana. Pekerjaan-Nya adalah sempurna, teratur
dan rapi. Dia adalah Tuhan Pemurah dan Penyayang. Pekerjaan-Nya tidak ada yang
zalim. Tuhan yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang baik-baik itu mengadakan
peraturan untuk diikuti. Mengikuti peraturan-Nya itulah penyerahan kepada-Nya.
Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman diperintahkan supaya menyampaikan kepada
umat manusia apa yang datang daripada Allah s.w.t. Pekerjaan manusia adalah
menyampaikan. Jika apa yang disampaikan itu tidak diterima, maka serahkannya
kepada Allah s.w.t. Dia memiliki Arasy yang besar, yang memagari sekalian
makhluk. Tidak ada makhluk yang dapat menembusi Arasy-Nya. Arasy-Nya adalah
pagar Qadar. Apa yang dia ciptakan dan tentukan untuk makhluk-Nya dipagari oleh
Arasy.
Kemudian jika mereka
berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah
(yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia jualah yang mempunyai Arasy yang
besar”. ( Ayat 129 : Surah
at-Taubah )
Tauhid adalah kesudahan
pencapaian. Pada peringkat ini, syirik tidak ada lagi walaupun sebesar zarah.
Dalam proses mencapai tauhid perlu ada pengasingan dan perbezaan antara Tuhan
dengan yang selain Tuhan. Tidak boleh diadakan sekutu bagi Tuhan. Tidak boleh
meletakkan anasir alam, amal, doa dan sebagainya pada kedudukan yang boleh
menyebabkan timbul anggapan yang selain Tuhan itu mampu mencabar kekuasaan
Tuhan. Tidak boleh terjadi ketaatan dan penyayangan terhadap sesuatu melebihi
ketaatan dan penyayangan terhadap Allah s.w.t.
Katakanlah (wahai
Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu,
dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta
benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan
(daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )
Perlu difahamkan bahawa
sekalipun hamba telah berserah diri kepada Allah s.w.t, tanpa Allah s.w.t
menerimanya tidak mungkin tercapai tujuannya. Penerimaan Allah s.w.t yang
benar-benar membawa hamba kepada-Nya. Tanda Allah s.w.t menerima hamba-Nya
ialah terdapat kecemerlangannya dimasa permulaan. Berlaku perubahan-perubahan
kepada diri si hamba itu. Sifat buruknya terbuang dan sifat terpuji
menghiasinya. Dia menjadi gemar beribadat dan berbuat taat. Semakin jauh
perjalanannya semakin cemerlang hatinya. Dia diterangi oleh Nur Ilahi dan
dikurniakan ilmu laduni, iaitu ilmu mengenal Allah s.w.t. Nur Makrifat
menyinarinya, maka kenallah dia pada Tuhannya.
0 comments:
Post a Comment