BAGAIMANA HATI AKAN
DAPAT DISINARI SEDANGKAN GAMBAR-GAMBAR ALAM MAYA MELEKAT PADA CERMINNYA, ATAU
BAGAIMANA MUNGKIN BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH
DIBELENGGU OLEH SYAHWATNYA, ATAU BAGAIMANA AKAN MASUK KE HADRAT ALLAH S.W.T
SEDANGKAN DIA MASIH BELUM SUCI DARI JUNUB KELALAIANNYA, ATAU BAGAIMANA
MENGHARAP UNTUK MENGERTI RAHSIA-RAHSIA YANG HALUS SEDANGKAN DIA BELUM TAUBAT
DARI DOSANYA (KELALAIAN, KEKELIRUAN DAN KESALAHAN).
Hikmah ini memberi penekanan tentang
uzlah iaitu mengasingkan diri. Hikmat ini pula memperingatkan bahawa uzlah
tubuh badan sahaja tidak memberi kesan yang baik jika hati tidak ikut beruzlah.
Walaupun tubuh badan dikurung hati masih boleh disambar oleh empat perkara:
1: Gambaran, ingatan, tarikan dan keinginan terhadap benda-benda alam
seperti harta, perempuan, pangkat dan lain-lain.
2: Kehendak atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada apa yang
dikehendaki.
3: Kelalaian yang menutup ingatan terhadap Allah s.w.t.
4: Dosa yang tidak dibasuh dengan taubat masih mengotorkan hati.
Diri manusia tersusun daripada
anasir tanah, air, api dan angin. Ia juga diresapi oleh unsur-unsur alam
seperti galian, tumbuh-tumbuhan, haiwan, syaitan dan malaikat. Tiap-tiap anasir
dan unsur itu menarik hati kepada diri masing-masing. Tarik menarik itu akan
menimbulkan kekacauan di dalam hati. Kekacauan itu pula menyebabkan hati
menjadi keruh. Hati yang keruh tidak dapat menerima sinaran nur yang melahirkan
iman dan tauhid. Mengubati kekacauan hati adalah penting untuk membukakannya
bagi menerima maklumat dari Alam Malakut. Hati yang kacau itu boleh distabilkan
dengan cara menundukkan semua anasir dan unsur tadi kepada syariat. Syariat
menjadi tali yang dapat mengikat musuh-musuh yang cuba menawan hati. Penting
bagi seorang murid yang menjalani jalan kerohanian menjadikan syariat sebagai
payung yang mengharmonikan perjalanan anasir-anasir dan daya-daya yang menyerap
ke dalam diri agar cermin hatinya bebas daripada gambar-gambar alam maya. Bila
cermin hati sudah bebas daripada gambar-gambar dan tarikan tersebut, hati dapat
menghadap ke Hadrat Ilahi.
Selain tarikan benda-benda
alam, hati boleh juga tunduk kepada syahwat. Syahwat bukan sahaja rangsangan
hawa nafsu yang rendah. Semua bentuk kehendak diri sendiri yang berlawanan
dengan kehendak Allah s.w.t adalah syahwat. Kerja syahwat adalah mengajak
manusia supaya lari dari hukum dan peraturan Allah s.w.t serta membangkang
takdir Ilahi. Syahwat membuat manusia tidak reda dengan keputusan Allah s.w.t.
Seseorang yang mahu menuju Allah s.w.t perlulah melepaskan dirinya dari
belenggu syahwat dan kehendak diri sendiri, lalu masuk ke dalam benteng aslim
iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t dan reda dengan takdir-Nya.
Perkara ke tiga yang
dibangkitkan oleh Hikmat ke tiga belas ini ialah kelalaian yang diistilahkan
sebagai junub batin. Orang yang berjunub adalah tidak suci dan dilarang
melakukan ibadat atau memasuki masjid. Orang yang berjunub batin pula tertegah
dari memasuki Hadrat Ilahi. Orang yang di dalam junub batin iaitu lalai hati,
kedudukannya seperti orang yang berjunub zahir, di mana amal ibadatnya tidak
diterima. Allah s.w.t mengancam untuk mencampakkan orang yang bersembahyang
dengan lalai (dalam keadaan berjunub batin) ke dalam neraka wil. Begitu
hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang menghadap-Nya dengan hati
yang lalai.
Mengapa begitu hebat sekali
ancaman Allah s.w.t kepada orang yang lalai? Bayangkan hati itu berupa dan
berbentuk seperti rupa dan bentuk kita yang zahir. Hati yang khusyuk adalah
umpama orang yang menghadap Allah s.w.t dengan mukanya, duduk dengan tertib,
bercakap dengan sopan santun dan tidak berani mengangkat kepala di hadapan
Maharaja Yang Maha Agung. Hati yang lalai pula adalah umpama orang yang
menghadap dengan belakangnya, duduk secara biadab, bertutur kata tidak tentu
hujung pangkal dan kelakuannya sangat tidak bersopan. Perbuatan demikian adalah
satu penghinaan terhadap martabat ketuhanan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi.
Jika raja didunia murka dengan perbuatan demikian maka Raja kepada sekalian
raja-raja lebih berhak melemparkan kemurkaan-Nya kepada hamba yang biadab itu
dan layaklah jika si hamba yang demikian dicampakkan ke dalam neraka wil. Hanya
hamba yang khusyuk, yang tahu bersopan santun di hadapan Tuhannya dan
mengagungkan Tuhannya yang layak masuk ke Hadrat-Nya, sementara hamba yang
lalai, tidak tahu bersopan santun tidak layak mendekati-Nya.
Perkara yang ke empat adalah
dosa-dosa yang belum ditebus dengan taubat. Ia menghalang seseorang daripada
memahami rahsia-rahsia yang halus-halus. Pintu kepada Perbendaharaan Allah
s.w.t yang tersembunyi adalah taubat! Orang yang telah menyuci-bersihkan
hatinya hanya mampu berdiri di luar pintu Rahsia Allah s.w.t selagi dia belum
bertaubat, samalah seperti orang yang mati syahid yang belum menjelaskan
hutangnya terpaksa menunggu di luar syurga. Jika dia mahu masuk ke dalam
Perbendaharaan Allah s.w.t yang tersembunyi yang mengandungi rahsia yang
halus-halus wajiblah bertaubat. Taubat itu sendiri merupakan rahsia yang halus.
Orang yang tidak memahami rahsia taubat tidak akan mengerti mengapa Rasulullah
s.a.w yang tidak pernah melakukan dosa masih juga memohon keampunan sedangkan
sekalipun baginda s.a.w berdosa semuanya diampunkan Allah s.w.t. Adakah
Rasulullah s.a.w tidak yakin bahawa Allah s.w.t mengampunkan semua dosa-dosa
dan kesalahan-kesalahan baginda s.a.w (jika ada)?
Maksud taubat ialah kembali,
iaitu kembali kepada Allah s.w.t. Orang yang melakukan dosa tercampak jauh
daripada Allah s.w.t. Walaupun orang ini sudah berhenti melakukan dosa malah
dia sudah melakukan amal ibadat dengan banyaknya namun, tanpa taubat dia tetap
tinggal berjauhan dari Allah s.w.t. Dia telah masuk ke dalam golongan hamba
yang melakukan amal salih tetapi yang berjauhan bukan berdekatan dengan Allah
s.w.t. Taubat yang lebih halus ialah pengayatan kalimat:
Tiada daya dan upaya
melainkan anugerah Allah s.w.t.
Kami datang dari Allah
s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.
Segala sesuatu datangnya dari
Allah s.w.t, baik kehendak mahupun perbuatan kita. Sumber yang mendatangkan
segala sesuatu adalah Uluhiyah (Tuhan) dan yang menerimanya adalah ubudiyah
(hamba). Apa sahaja yang dari Uluhiyah adalah sempurna dan apa sahaja yang
terbit dari ubudiyah adalah tidak sempurna. Uluhiyah membekalkan kesempurnaan
tetapi ubudiyah tidak dapat melaksanakan kesempurnaan itu. Jadi, ubudiyah
berkewajipan mengembalikan kesempurnaan itu kepada Uluhiyah dengan memohon
keampunan dan bertaubat sebagai menampung kecacatan. Segala urusan dikembalikan
kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi makrifat seseorang hamba semakin kuat
ubudiyahnya dan semakin kerap dia memohon keampunan dari Allah s.w.t,
mengembalikan setiap urusan kepada Allah s.w.t, sumber datangnya segala urusan.
Apabila hamba mengembalikan
urusannya kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t sendiri yang akan mengajarkan
Ilmu-Nya yang halus-halus agar kehendak hamba itu bersesuaian dengan Iradat
Allah s.w.t, kuasa hamba sesuai dengan Kudrat Allah s.w.t, hidup hamba sesuai
dengan Hayat Allah s.w.t dan pengetahuan hamba sesuai dengan Ilmu Allah s.w.t,
dengan itu jadilah hamba mendengar kerana Sama’ Allah s.w.t, melihat kerana
Basar Allah s.w.t dan berkata-kata kerana Kalam Allah s.w.t. Apabila semuanya
berkumpul pada seorang hamba maka jadilah hamba itu Insan Sirullah (Rahsia
Allah s.w.t).
0 comments:
Post a Comment