AMALAN ZAHIR ADALAH
KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG TERDAPAT DENGAN TERSEMBUNYI DALAM
AMALAN ITU.
Amal lahiriah digambarkan sebagai
batang tubuh dan ikhlas pula digambarkan sebagai nyawa yang menghidupkan batang
tubuh itu. Sekiranya kita kurang mendapat kesan yang baik daripada latihan
kerohanian hendaklah kita merenung dengan mendalam tubuh amal apakah ia
bernyawa atau tidak.
Hikmat 10 ini menghubungkan amal
dengan ikhlas. Hikmat 9 yang lalu telah menghubungkan amal dengan hal.
Kedua-dua Kalam Hikmat ini membina jambatan yang menghubungkan hal dengan
ikhlas, kedua-duanya ada kaitan dengan hati, atau lebih tepat jika dikatakan
ikhlas sebagai suasana hati dan hal sebagai Nur Ilahi yang menyinari hati yang
ikhlas. Ikhlas menjadi persediaan yang penting bagi hati menyambut kedatangan
sinaran Nur Ilahi. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya
kepada hamba-Nya maka dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut. Nur yang
dipancar kepada hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah s.w.t. Hati
yang diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat tanda-tanda
tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun mengenal
Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini dikatakan hati yang mempunyai
ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi menggambarkan ikhlas dan
hubungannya dengan makrifat:
Dan sebenarnya
perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin
timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan
Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami), untuk
menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji,
kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
( Ayat 24 : Surah Yusuf )
Nabi Yusuf a.s adalah hamba
Allah s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam pemeliharaan Allah
s.w.t. Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan kekotoran, Nur
Rahsia Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia menyaksikan
dengan jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan rangsangan
jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh orang arif
dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah
s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang yang berada di dalam makam
ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t baik semasa
beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang memeliharanya. Allah
s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya dalam keadaan ikhlas.
Dia Yang Tetap Hidup;
tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan
Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji
tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian
alam. ( Ayat 65 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t jua Yang Hidup. Dia yang
memiliki segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam. Apa sahaja yang ada
dalam alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup adalah diperhidupkan
oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan kurniaan sementara jalan
dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba dituntut supaya mengikhlaskan
segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam melaksanakan tuntutan
mengikhlaskan kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak boleh berasa takut
dan gentar kepada sesama makhluk.
Oleh itu maka
sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi
bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang
demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t telah menetapkan kod
etika kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati, diamalkan, disebarkan dan
diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas
kerana Allah s.w.t, meskipun ada orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang
menghina, orang-orang yang membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan
yang diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila
menemui Tuhan kelak.
Katakanlah: “Tuhanku
menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu)
hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali
mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama
kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada
mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 : Surah
al-A’raaf )
Sekali pun sukar mencapai
peringkat ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan agar diperolehi
keadaan hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang lahir mahu pun
yang batin. Orang yang telah tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan Allah s.w.t
akan berusaha membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya melihat bahawa Allah
jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina. Hamba
berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang yang di dalam makam
ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang memerintahkan supaya
beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana perintah Allah s.w.t wajib
dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak kerana sesuatu yang lain. Golongan
ini sudah dapat menawan hawa nafsu yang rendah dan pesona dunia tetapi dia
masih melihat dirinya di samping Allah s.w.t. Dia masih melihat dirinya yang
melakukan amal. Dia gembira kerana menjadi hamba Allah s.w.t yang beramal
kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan biasa masih mempengaruhi hatinya.
Setelah kerohaniannya meningkat
hatinya dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t, menjadi orang arif yang
tidak lagi melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat Allah s.w.t,
Sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Apa sahaja yang ada dengannya adalah
anugerah Allah s.w.t. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas yang ada dengannya
semuanya merupakan anugerah Allah s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan
dirinya.
Tingkat ikhlas yang paling
rendah ialah apabila amal perbuatan bersih daripada riak yang jelas dan samar
tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala yang dijanjikan Allah
s.w.t. Ikhlas seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat bersandar kepada
amal, iaitu hamba yang mentaati Tuannya kerana mengharapkan upah daripada
Tuannya itu.
Di bawah daripada
tingkatan ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas seseorang beramal
kerana sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup kejahatannya agar
orang percaya kepadanya dan bermacam-macam lagi muslihat yang rendah. Orang
dari golongan ini walaupun banyak melakukan amalan namun, amalan mereka adalah
umpama tubuh yang tidak bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan di hadapan
Tuhan nanti akan menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang yang melakukannya.
Setiap orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah mengusahakan ikhlas pada
amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai amalan tersebut,
sebanyak ketiadaan ikhlas itu.
(Amalkanlah
perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak
mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya. (Ayat 31 : Surah al-Hajj )
“Serta (diwajibkan
kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan
perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang musyrik’”. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah
atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat
kepadamu dan tidak juga dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu,
sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah
engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan
perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 & 106 : Surah Yunus )
Daging dan darah
binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah,
tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa
dari kamu. (Ayat 37 : Surah al-Hajj )
Allah s.w.t menyeru sekaligus supaya
berbuat ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada syirik.
Jika sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada makhluk yang
berkuasa mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada ikhlas pada amal
tersebut. Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau seseorang
yang kepadanya amal itu ditujukan. Orang yang beramal tanpa ikhlas itu
dipanggil orang yang zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.
Intisari kepada ikhlas adalah
melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, tidak ada kepentingan lain.
Kepentingan diri sendiri merupakan musuh ikhlas yang paling utama. Kepentingan
diri lahir daripada nafsu. Nafsu inginkan kemewahan, keseronokan, kedudukan,
kemuliaan, puji-pujian dan sebagainya. Apa yang lahir daripada nafsu itulah
yang sering menghalang atau merosakkan ikhlas.
0 comments:
Post a Comment