KERAJINAN KAMU UNTUK
MEMPEROLEHI APA YANG TELAH TERJAMIN UNTUK KAMU DI SAMPING KECUAIAN KAMU
TERHADAP KEWAJIPAN YANG DIAMANATKAN MENUNJUKKAN BUTA MATA HATI.
Hikmat 5 ini merupakan lanjutan
kepada Hikmat yang lalu. Imam Ibnu Athaillah menceritakan kesan daripada hijab
nafsu dan hijab akal yang menutup hati daripada melihat kepada takdir yang
menjadi ketentuan Allah s.w.t. Ada tiga perkara yang dikemukakan untuk
direnungi:
1: Jaminan Allah s.w.t.
2: Kewajipan hamba
3: Mata hati yang mengenal jaminan
Allah s.w.t dan kewajipan hamba.
Penyingkapan rahsia mata hati
adalah penting bagi memahami Kalam Hikmat di atas. Mata hati ialah mata bagi
hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati.
Kadang-kadang mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’
digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang
dimiliki oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang,
sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk
melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri zahir memperolehi
kehidupan dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan aliran nyawa dalam
bentuk wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan mulut. Jika darahnya
dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang keluar masuk itu
disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana sekalian
bahagiannya terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati! Diri zahir ini jika
disusun dapatlah dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa serta
deria-deria yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya ialah
otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang
atau akal fikiran.
Diri batin juga mempunyai
susunan yang sama seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib. Ia juga
mempunyai tubuh yang dipanggil kalbu atau hati. Hati yang dimaksudkan
bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan hati
rohani atau hati seni. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab itu ia tidak dapat
dikesan oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib
yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia
ketuhanan. Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga
yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan
sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah
urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.
Katakan: “Roh itu dari
perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan
sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )
Tubuh seni atau hati
seni juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan
pengetahuan. Ia dipanggil akal yang juga termasuk di dalam golongan Latifah
Rabbaniah yang tidak mampu dihuraikan. Akal jenis ini berguna bagi pengajian
tentang ketuhanan. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara
zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman,
perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga,
hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau diri batin juga
mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan basirah
atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki oleh mata
zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan
kepada yang ghaib.
Apa yang ada di sekeliling kita
boleh dilihat melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan mata zahir dan
yang ghaib dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku gula, mata kasar
melihat sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan pada lidah terasalah
manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh kepada
sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu sebenarnya
adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada hakikat gula
iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan tetapi mata hati yang
melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis. Jika mata zahir melihat
sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada tajamnya. Jika mata zahir
melihat kepada lada, mata hati melihat kepada pedasnya. Jadi, mata zahir
mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara mata hati mengenal dan
membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati yang hanya berfungsi setakat
mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap sebagai mata
hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik jika ia mampu melihat urusan
ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.
Kekuatan suluhan mata hati
bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati
bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu
melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita
malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia. Dunia
adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau
langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia.
Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh
yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil
sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan di
dalam Alam Barzakh.
Fungsi mata hati ialah melihat
yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu
wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian
mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan
ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang biasa digunakan bagi
menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang
sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana
sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang
perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana
rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian tidak
dapat dihuraikan.
Mata hati yang lebih kuat
mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang
dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan
kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya
tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan
oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal
di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat. Tanggungjawab
seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat,
Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan.
Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil
lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Inilah hakikat
yang ditemui oleh mata hati yang menyelami Alam Barzakh, bukan melihat roh
orang mati di dalam kubur.
Mata hati berfungsi mengenal
perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat
akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu
mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Amanat
itu akan terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah
s.w.t yang meletakkan amanat tersebut kepada mereka. Makrifat mata hati yang
demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal salih
menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah
s.w.t.
Dialah Tuhan yang
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk
menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab
rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari
yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). ( Ayat
13 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t berfirman dalam Hadis
Qudsi:
Hamba-Ku, taatilah
semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu.
Allah s.w.t sebagai Tuhan, Tuan atau
Majikan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab-Nya untuk memberi rezeki
kepada hamba-hamba-Nya sementara hamba-hamba pula berkewajipan mentaati Tuan
mereka. Rezeki telah dijamin oleh Allah s.w.t dan untuk mendapatkan rezeki
tersebut seseorang hamba hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Jika dia
seorang ahli asbab maka bekerjalah ke arah rezekinya dan jangan iri hati
terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Jika dia ahli tajrid maka
bertawakallah kepada Allah s.w.t dan jangan gusar jika terjadi kelewatan atau
kekurangan dalam urusan rezeki. Walau dalam makam manapun seseorang hamba itu
berada dia mesti melakukan kewajipan iaitu bersungguh-sungguh mentaati Allah
s.w.t dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hamba yang
terbuka mata hatinya akan percaya dengan yakin terhadap jaminan Allah s.w.t dan
tidak mencuaikan kewajipannya. Hamba ini akan melipat-gandakan kegiatan dan
kerajinannya untuk bertakwa dan beramal salih tanpa mencurigai jaminan Allah
s.w.t tentang rezekinya.
Hamba yang buta mata hatinya
akan berbuat yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam mencari rezeki
yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan tanggungjawab yang
diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan daya usaha yang banyak
untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya usaha yang sederhana tetapi
menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu
yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha yang gigih dan perjuangan
yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.
Mata hati melihat kepada yang
hak dalam keghaiban. Nafsu yang hanya berminat dengan kebendaan yang nyata
menutupi yang hak itu dan akal mengadakan hujah untuk menguatkan keraguan yang
tumbuh pada nafsu. Perkara ghaib disaksikan dengan keyakinan. Jika nafsu dan
akal bersepakat mengadakan keraguan, kebenaran yang ghaib akan terhijab. Orang
yang mencari kebenaran tetapi gagal menundukkan nafsu dan akalnya akan
berpusing-pusing di tempat yang sama. Keyakinan dan keraguan sentiasa berperang
dalam jiwanya.
Sumber: Kitab Al-Hikam
Karya Ibnu Ato'illah Al-Asykandari
0 comments:
Post a Comment