BERBEZA ANTARA ORANG YANG MENGAMBIL DALIL
DENGAN ALLAH S.W.T DENGAN ORANG YANG MENGAMBIL DALIL ATAS-NYA. ORANG YANG
MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T ITULAH YANG MENGENAL HAQ DAN MELETAKKANNYA
PADA TEMPATNYA DAN MENETAPKAN TERJADINYA SESUATU DARI ASAL MULANYA. MENGAMBIL
DALIL ATAS ALLAH S.W.T ADALAH KERANA TIDAK SAMPAI KEPADA-NYA. MAKA BILAKAH
ALLAH S.W.T ITU GHAIB SEHINGGA MEMERLUKAN DALIL UNTUK MENYATAKAN-NYA DAN
BILAKAN ALLAH S.W.T ITU JAUH SEHINGGA MEMERLUKAN ALAM UNTUK SAMPAI KEPADA-NYA.
Nur Ilahi yang menyinari hati
memperlihatkan Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum yang selain-Nya kelihatan.
Akal pula melihat anasir alam dan kejadian-kejadian yang berlaku terlebih
dahulu sebelum sampai kepada Tuhan yang mengatur segala urusan. Orang-orang
hati melihat Wujud Allah s.w.t mengwujudkan alam dan apa yang berlaku di
dalamnya dan orang-orang akal pula melihat wujud alam menjadi dalil kepada
Wujud Allah s.w.t.
Orang yang sampai kepada Allah s.w.t
melihat bahawa Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t
menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada
peringkat mencari pula melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk
mengenal Allah s.w.t adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk
menjadi bukti kepadanya tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi
dengan sendirinya.
Perbincangan Hikmat 8
menyentuh golongan mencari dan golongan yang dicari. Orang yang mencari
menempuh jalan yang sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya. Contoh
terbaik orang yang mencari ialah Salman al-Farisi yang mendapat jolokan Pencari
Kebenaran. Beliau r.a berasal dari Isfahan. Bapanya seorang kenamaan yang
kaya-raya dan kuat berpegang kuat pada agama Majusi. Salman bertugas menjaga
api dan bertanggungjawab mempastikan api itu tidak padam. Satu hari beliau lalu
berhampiran gereja Nasrani. Beliau tertarik melihat cara orang Nasrani
bersembahyang. Setelah bertukar-tukar fikiran dengan mereka dan mempelajari
tentang agama Nasrani beliau berpendapat agama Nasrani lebih benar daripada
agama Majusi, lalu beliau memeluk agama Nasrani Beliau kemudiannya pergi ke Syria
untuk mendalami pengajiannya tentang agama Nasrani. Beliau tinggal dengan
seorang pendeta dan beliau menjadi pelayan kepada pendeta tersebut sambil
beliau belajar Setelah pendeta itu meninggal dunia Salman pergi ke Mosul, untuk
memenuhi kehendak wasiat pendeta tersebut. Di sana beliau tinggal dan
berkhidmat kepada seorang pendeta juga. Apabila hampir ajalnya pendeta kedua
ini mewasiatkan kepada Salman supaya pergi ke Nasibin dan berkhidmat kepada
seorang salih yang tinggal di sana. Salman kemudiannya berpindah ke
Nasibin. Pendeta di Nasibin kemudiannya mewasiatkan kepada Salman agar beliau
pergi ke Amuria dan berkhidmat kepada seorang salih di sana. Salman berpindah
pula ke Amuria. Ketika pendeta di Amuria itu hampir menemui ajalnya beliau
memberi amanat kepada Salman bahawa sudah hampir masanya kebangkitan seorang
nabi yang mengikuti agama Nabi Ibrahim a.s secara murni. Nabi yang baharu
muncul itu nanti akan berhijrah ke satu tempat yang banyak ditumbuhi pokok
kurma dan terletak di antara dua bidang tanah berbatu-batu hitam. Tanda-tanda
yang jelas tentang kenabiannya ialah dia tidak mahu makan sedekah tetapi
menerima hadiah. Di bahunya ada cap kenabian yang bila dilihatnya segera
dikenali akan kenabiannya. Setelah pendeta yang memberi amanat itu meninggal dunia
berangkatlah Salman mengikuti rombongan Arab dengan menyerahkan kepada mereka
lembu-lembu dan kambing-kambingnya. Sampai di Wadi Qura, Salman dianiayai dan
dijual kepada orang Yahudi. Kemudian, Salman dijual kepada orang Yahudi yang
lain. Tuannya yang baharu itu membawanya ke Yasrib. Sebaik sahaja Salman
melihat negeri itu yakinlah dia bahawa itulah negeri yang diceritakan oleh
pendeta yang menjaganya dahulu. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yasrib,
Salman datang menemui baginda s.a.w di Quba dan memberikan makanan sebagai
sedekah kepada baginda s.a.w dan sahabat baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w
menyuruh mereka makan tetapi baginda s.a.w tidak menjamah makanan tersebut.
Keesokan harinya Salman datang lagi membawa makanan sebagai hadiah. Rasulullah s.a.w
makan bersama-sama sahabat baginda s.a.w. Semasa Rasulullah s.a.w berada di
Baqi’, Salman pergi lagi menemui baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w ketika itu
memakai dua helai kain lebar, satu sebagai sarung dan satu lagi sebagai baju.
Salman menjenguk dan mengintai untuk melihat belakang baginda s.a.w. Rasulullah
s.a.w mengerti akan maksud Salman lalu baginda s.a.w menyingkap kain burdah
dari leher baginda s.a.w hingga kelihatanlah cap kenabian yang dicari oleh
Salman. Melihatnya Salman terus menangis dan menciumnya. Akhirnya beliau temui
kebenaran yang beliau telah cari di merata-rata tempat.
Kisah Salman memberi gambaran
betapa sukarnya jalan yang ditempuhi oleh orang yang mencari Allah s.w.t. Di
samping mengharungi kehidupan yang sukar mereka juga menuntut ilmu, berguru ke
sana ke mari, mencari dalil-dalil dan pembuktian bagi menambahkan pengetahuan
tentang Tuhan. Mereka melihat alam dan kejadian di dalam alam sebagai bukti
yang menunjukkan Wujud Allah s.w.t, dan mereka mengkaji alam untuk memahami tentang
keesaan Allah s.w.t. Setelah mereka sampai kepada Allah s.w.t mereka melepaskan
dalil-dalil lalu berpegang kepada makrifat yang diperolehi.
Golongan yang dicari menempuh
jalan yang berbeza. Contoh orang yang dicari ialah Saidina Umar al-Khattab r.a.
Pada awal perkembangan Islam di Makkah umat Islam menghadapi tentangan yang
hebat dari puak Quraisy. Rasulullah s.a.w telah berdoa agar Islam
diperkuatkan dengan salah satu Umar, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau
Umar al-Khattab. Umar al-Khattab ketika itu sangat keras menentang dan menyeksa
golongan Islam, terutamanya yang lemah. Rasa bencinya terhadap agama baharu
yang merombak adat dan kepercayaan datuk neneknya itu meluap-luap di hatinya.
Apabila rasa kebencian itu memuncak beliau mengambil keputusan mahu membunuh
Rasulullah s.a.w. Umar mencabut pedangnya sambil menuju ke tempat di mana
Rasulullah s.a.w berada. Di tengah jalan Umar diberitahu bahawa adiknya sendiri
telah pun memeluk Islam. Dia memikirkan bahawa lebih baik jika dia menguruskan
masalah dalamannya dahulu sebelum membunuh Rasulullah s.a.w. Mendengar berita
itu dia pun membelok ke rumah adiknya. Keadaannya seperti singa bengis.
Ditendangnya pintu rumah adiknya. Pada ketika itu adiknya sedang memegang
lembaran yang ditulis dengan ayat al-Quran. Umar memukul adiknya dan merampas
lembaran tersebut. Umar adalah seorang cendekiawan yang tahu membaca, dan arif
tentang sastera puisi. Sebaik sahaja Umar membaca wahyu Allah s.w.t, tubuhnya
menggeletar dan keluarlah ucapan dari mulutnya,” Ini bukan syair yang ditulis
oleh penyair yang handal. Ini bukan karya manusia. Tidak ada yang dapat
menciptakannya kecuali Tuhan sendiri”. Lalu Umar al-Khattab pergi menghadap
Rasulullah s.a.w dan menyatakan keislamannya.
Umar al-Khattab membaca ayat
al-Quran, Kalam Allah s.w.t dan serta-merta dia melihat kebenarannya. Umar
tidak memerlukan kepada alam dan makhluk sekaliannya sebagai dalil dan bukti.
Kebenaran itu sendiri menjadi dalil baginya. Kalam Allah s.w.t sendiri yang
menyampaikan Umar kepada-Nya. Allah s.w.t yang menerangi hati Umar dengan
makrifat-Nya. Makrifatullah yang menerangi makrifat alam sehingga alam itu
dikenali melalui sumber iaitu Allah s.w.t sendiri. Orang yang mencari menyusur
dari ranting ke dahan, turun ke batang lalu pergi kepada umbi sebelum menemui
benih yang melahirkan pokoknya. Orang yang telah dibawa kepada Tuhan melihat
dari asal mulanya, melihat benih yang darinya muncul pokok yang cukup lengkap.
Perbezaan arah memandang
menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa. Orang akal lebih
cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat
iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula
yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal
untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan
hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang
sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang
mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah
mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.
Orang hati pula terus
menyaksikan ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab
dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam
melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah
s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu,
bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat
menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala
sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu
oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik.
Walaupun terdapat perbezaan
cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua
golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa
golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa
mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah
diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang
mengeluarkan niat.
0 comments:
Post a Comment