TANAMKAN WUJUD KAMU
DALAM BUMI YANG TERSEMBUNYI KERANA YANG TUMBUH DARI SESUATU YANG TIDAK
DITANAM ITU TIDAK SEMPURNA HASILNYA.
Hikmat yang lalu mengarahkan
pandangan kita kepada ikhlas. Ikhlas menjadi kekuatan yang menghalau syirik
Jalan syirik adalah kepentingan diri sendiri. Oleh itu diri sendiri mesti
diperhatikan bagi mengelakkan berlakunya syirik. Bila kepentingan diri sendiri
boleh ditundukkan baharulah muncul keikhlasan.
Dan juga pada diri
kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan
(dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )
Hikmat 11 mengajak kita menyelami
persoalan yang lebih halus iaitu hakikat diri kita sendiri atau kewujudan kita.
Kita dijadikan daripada tanah, maka kembalikan ia (jasad) kepada tanah, iaitu
ia (jasad) harus dilayani sebagai tanah supaya ia tidak mengenakan tipu
dayanya. Apabila kita sudah dapat menyekat pengaruh jasad maka kita hadapi pula
roh kita. Roh datangnya daripada Allah s.w.t, kerana roh adalah urusan Allah
s.w.t, maka kembalikan ia kepada Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba itu sudah
tidak terikat lagi dengan jasad dan roh maka jadilah dia bekas yang sesuai
untuk diisi dengan Allah s.w.t.
Pada awal perjalanan, seseorang
pengembara kerohanian membawa bersama-samanya sifat-sifat basyariah serta
kesedaran terhadap dirinya dan alam nyata. Dia dikawal oleh kehendak,
pemikiran, cita-cita, angan-angan dan lain-lain. Anasir-anasir alam seperti
galian, tumbuh-tumbuhan dan haiwan turut mempengaruhinya. Latihan kerohanian
menghancurkan sifat-sifat yang keji dan memutuskan rantaian pengaruh
anasir-anasir alam.
Jika diperhatikan Kalam-kalam
Hikmat yang lalu dapat dilihat bahawa hijab nafsu dan akal yang membungkus hati
sehingga kebenaran tidak kelihatan. Akal yang ditutupi oleh kegelapan nafsu,
iaitu akal yang tidak menerima pancaran nur, tunduk kepada perintah nafsu.
Nafsu tidak pernah kenyang dan akal sentiasa ada jawapan dan alasan. Hujah akal
menjadi benteng yang kukuh buat nafsu bersembunyi. Jangan memandang enteng
kepada kekuatan nafsu dalam menguasai akal dan pancaindera. Al-Quran telah
memberi peringatan mengenainya:
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan
orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka
dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah
engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang
engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak,
bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. ( Ayat 43 & 44 : Surah
al-Furqaan )
Dan kalau Kami
kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan)
ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa
nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia
menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia
juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlan kisah-kisah itu supaya
mereka mahu berfikir. ( Ayat 176 : Surah al-A’raaf )
Manusia yang menerima ayat-ayat
Allah s.w.t yang seharusnya menjadi mulia telah bertukar menjadi hina kerana
mereka memperturutkan hawa nafsu. Ayat-ayat Allah s.w.t yang diketahuinya memancarkan
cahaya pada hati dan akalnya tetapi kegelapan nafsu membungkus cahaya itu. Di
dalam kegelapan nafsu, akal mengadakan hujah bagi mendustakan ayat-ayat Allah
s.w.t yang dia sendiri mengetahuinya. Allah s.w.t mengadakan perbandingan yang
hina bagi orang yang seperti ini. Mereka adalah umpama anjing yang tidak boleh
berfikir dan tidak bermaruah. Buruk sekali pandangan Allah s.w.t terhadap orang
yang mempertuhankan nafsunya. Nafsu yang tidak mahu kenyang adalah umpama
anjing yang sentiasa menjulurkan lidahnya, tidak memperdulikan walaupun dihalau
berkali-kali.
Allah s.w.t mewahyukan
ayat-ayat yang menceritakan tentang kehinaan manusia yang menerima
ayat-ayat-Nya tetapi masih juga memperturutkan hawa nafsu, supaya cerita yang
demikian boleh memberi kesedaran kepada mereka. Jika mereka kembali sedar,
mereka akan keluar daripada kegelapan nafsu. Berpandukan ayat-ayat Allah s.w.t
yang sudah mereka ketahui mereka akan temui jalan yang benar.
Ayat-ayat yang diturunkan
Allah s.w.t memberi pengertian kepada Rasulullah s.a.w bahawa cendikiawan Arab
yang menentang baginda s.a.w berbuat demikian bukan kerana tidak dapat melihat
kebenaran yang baginda s.a.w bawa, tetapi mereka dikuasai oleh hawa nafsu.
Cahaya kebenaran yang menyala dilubuk hati ditutupi oleh kegelapan nafsu. Orang
yang telah menerima cahaya kebenaran tetapi mendustakannya itulah yang diberi
perumpamaan yang hina oleh Allah s.w.t.
Menurut cerita daripada Ibnu
Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura.
Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama
Allah Yang Maha Besar. Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israil, setelah selamat
daripada Firaun, sampai hampir dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri
tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah
berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan
penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan
Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya untuk mengalahkan Nabi Musa a.s. Bal’am
yang pada mulanya enggan berbuat demikian tetapi akhirnya bersetuju juga
setelah isteri kecintaannya menerima sogokan daripada Raja. Bal’am dengan
kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi
Musa a.s. Menurut cerita, doa dan perbuatan Bal’am dimakbulkan Allah s.w.t dan
ia menjadi sebab kaum Nabi Musa terperangkap di Padang Teh beberapa tahun
lamanya. Apabila Nabi Musa a.s mendoakan agar kaumnya dilepaskan daripada
sekatan tersebut, Allah s.w.t memakbulkan doa tersebut dan pada masa yang sama
laknat turun kepada Bal’am.
Sebahagian orang menganggap
cerita di atas sebagai cerita Israiliat. Rasulullah s.a.w menentukan dasar
bahawa cerita ahlul kitab tidak dibenarkan dan tidak didustakan. Cerita
tersebut dibawa sekadar menunjukkan sejauh mana kekuatan nafsu menutup
pandangan hati sehingga Bal’am sanggup menentang Nabi Musa a.s walaupun dia
mengetahui kebenarannya, sebagaimana cendikiawan Arab menentang Rasulullah
s.a.w sekalipun hati kecil mereka menerima kebenaran baginda s.a.w.
Menundukkan nafsu bukanlah pekerjaan
yang mudah. Seseorang itu perlu kembali kepada hatinya, bukan akalnya. Hati
tidak akan berbohong dengan diri sendiri sekalipun akal menutupi kebenaran atas
perintah nafsu. Kekuatan hati adalah ikhlas. Maksud ikhlas yang sebenarnya
adalah:
Katakanlah:
“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. ( Ayat
162 : Surah al-An’aam )
Dalam ikhlas tidak ada kepentingan
diri. Semuanya kerana Allah s.w.t. Selagi kepentingan diri tidak ditanam dalam
bumi selagi itu ikhlas tidak tumbuh dengan baik. Ia menjadi sempurna apabila
wujud diri itu sendiri ditanamkan. Bumi tempat menanamnya adalah bumi yang
tersembunyi, jauh daripada perhatian manusia lain. Ia adalah umpama kubur yang
tidak bertanda.
0 comments:
Post a Comment