JANGAN MENANTIKAN
SELESAI SEGALA HALANGAN, KERANA YANG DEMIKIAN AKAN MENGHALANG KAMU DARI
MENDEKATI ALLAH S.W.T MELALUI SESUATU YANG ENGKAU DIDUDUKKAN DI DALAMNYA.
Setelah merenung Hikmat yang
lalu kita telah dapat melihat dan menghayati persoalan Qadar secara
terperinci hingga kepada batas hembusan satu nafas. Pada setiap ketika kita
didudukkan di dalam medan Qadar. Qadar membawa kepada kita kejadian, suasana,
rupa bentuk, nama-nama dan lain-lain. Masing-masing menarik hati kita
kepadanya. Apa sahaja yang bertindak menarik hati menjadi penghalang untuk kita
mendekati Allah s.w.t. Oleh sebab perjalanan Qadar tidak akan berhenti maka
kewujudan halangan-halangan juga tidak akan habis. Jika kita lemas di dalam
lautan Qadar, pandangan kita disilaukan oleh warna-warnanya dan kita dimabukkan
oleh gelombangnya, maka selama-lamanya kita akan terhijab dari Allah s.w.t.
Tujuan kita beriman kepada Qadak dan Qadar bukanlah untuk kita lemas di dalam
lautannya. Kita hendaklah tahu mengikuti rentak ombaknya dan tiupan anginnya
sambil perhatian kita tertuju kepada daratan, bukan membiarkan diri kita
terkubur di dasar laut. Ketika menghadapi ombak Qadar kita hendaklah menjaga
perahu yang kita naiki. Perahu tersebut ialah sama ada perahu asbab atau perahu
tajrid. Jika kita menaiki perahu asbab kita perlu berdayung dan menjaga
kemudinya sesuai mengikut perjalanan sebab musabab. Jika kita berada dalam
perahu tajrid kita akan ditolak oleh kuasa enjin tajrid tetapi kita masih perlu
mengawal kemudinya agar tidak lari dari daratan yang dituju.
Setiap Qadar yang sampai kepada kita
membawa kita memasuki ruang dan waktu. Pada setiap ruang dan waktu yang kita
ditempatkan itu ada kewajipan yang perlu kita laksanakan. Ia merupakan amanah
yang dipertaruhkan oleh Allah s.w.t kepada kita. Qadar adalah utusan yang
mengajak kita memerhatikan perbuatan Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya,
nama-nama-Nya dan Zat-Nya Yang Maha Suci, Maha Mulia dan Maha Tinggi. Tidak ada
satu Qadar, tidak ada satu ruang dan waktu yang padanya tidak terdapat
ayat-ayat atau tanda-tanda yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Kegagalan
untuk melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t itu adalah kerana perhatian
hanya tertumpu kepada makhluk dan kejadian yang menjadi sebab musabab yang dibawa
oleh Qadar yang menempati sesuatu ruang dan waktu itu. Apabila perhatian
tertumpu kepada makhluk dan kejadian maka makhluk dan kejadian itu menjadi
hijab antara hamba dengan Allah s.w.t. Hamba akan melihat makhluk dan kejadian
mempunyai kesan terhadap sesuatu dan dia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t yang
mengawal segala sesuatu itu. Kewajipan si hamba ialah menghapuskan hijab
tersebut agar apa juga Qadar, ruang dan waktu yang dia berada di dalamnya, dia
tetap melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t. Hatinya tidak putus bergantung
kepada Allah s.w.t. Ingatannya tidak luput dari mengingati Allah s.w.t. Mata
hatinya tidak lepas dari memerhatikan sesuatu tentang Allah s.w.t. Ingatan dan
perasaannya sentiasa bersama Allah s.w.t. Setiap Qadar, ruang dan waktu adalah
kesempatan baginya mendekati Allah s.w.t.
Hati kita boleh mengarah
kepada dunia atau kepada akhirat ketika menerima kedatangan sesuatu Qadar.
Biasanya tarikan kepada dunia kita anggapkan sebagai halangan sementara tarikan
kepada akhirat kita anggap sebagai jalan yang menyampaikan. Sebenarnya
kedua-duanya adalah halangan kerana kedua-duanya adalah alam atau makhluk yang
Tuhan ciptakan. Syurga, bidadari, Kursi dan Arasy adalah makhluk yang Tuhan
ciptakan. Alam ini kesemuanya adalah gelap gelita, yang meneranginya adalah
kerana nampaknya Allah s.w.t padanya (Hikmat 14). Alam adalah cermin yang
memperlihatkan cahaya Allah s.w.t yang padanya ada kenyataan Allah s.w.t. Oleh
yang demikian walau di dalam Qadar apa sekali pun kita berada, kesempatan untuk
melihat Allah s.w.t dan mendekat kepada-Nya tetap ada. Kesempatan ini adalah
hak Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Hak ini wajib ditunaikan pada waktu itu
juga, tidak boleh ditunda kepada waktu yang lain, kerana pada waktu yang
lain ada pula hak Allah s.w.t yang lain.
Setengah ulama memfatwakan
bahawa sembahyang yang terlepas dari waktunya boleh dilakukan semula secara
qada. Sekali pun sembahyang boleh dibuat secara qada tetapi hak Allah s.w.t
yang telah terlepas tidak boleh diqada. Hamba yang benar-benar menyempurnakan
kewajipannya terhadap hak Allah s.w.t ialah yang tidak berkelip mata hatinya
memandang kepada Allah s.w.t, tidak kira didudukkan dalam suasana atau Qadar
apa sekalipun. Setiap waktu dan ruang yang dimasukinya adalah jambatan yang
menghubungkannya dengan Tuhannya.
0 comments:
Post a Comment