HENDAKLAH BERBELANJA
AKAN KEKAYAANNYA BAGI MEREKA YANG TELAH SAMPAI KEPADA ALLAH S.W.T DAN MENURUT
KADAR KEMAMPUANNYA BAGI YANG SEDANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T.
Hikmah ini mengemukakan ujian
kepada hati sejauh mana kekuatannya beriman, berserah diri dan yakin dengan
janji Allah s.w.t. Ia juga menjadi pengukur pada tahap mana seseorang yang
berjalan pada jalan kerohanian itu berada. Hikmat di atas menjurus khusus
kepada harta kekayaan. Harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh
manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan
ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta.
Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid,
hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya
peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti
manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi. Pendidikan dan kemahiran
disalurkan ke arah ekonomi. Kejayaan atau kegagalan dinilai melalui faktor
ekonomi. Perhatian manusia sentiasa tertuju kepada soal ekonomi atau harta
dalam membuat sesuatu keputusan.
Apabila harta sudah bertapak
dalam jiwa seseorang manusia akan menjual maruah dirinya kerana harta. Orang
miskin sanggup diperkudakan oleh orang kaya kerana harta. Orang kaya sanggup
melakukan rasuah dan penganiayaan kerana harta. Harta menjadi raja menguasai
jiwa raga manusia. Segala sesuatu dinilai dengan harta. Persahabatan harus
dibeli dengan harta. Kesetiaan juga perlu dibayar dengan harta.
Hikmat di atas menarik perhatian
orang yang sedang berjalan pada jalan kerohanian agar memerhatikan hatinya,
bagaimanakah hubungan hatinya dengan harta. Ia menyatakan bahawa orang yang
telah sampai kepada Allah s.w.t dan memperolehi makrifat-Nya tidak seharusnya
menyimpan harta, hendaklah dia membelanjakan ke jalan Allah s.w.t dan yakin
dengan janji Allah s.w.t tentang rezekinya. Orang yang masih dalam perjalanan
pula hendaklah membelanjakan ke jalan Allah s.w.t menurut kesanggupannya.
Sejarah banyak menceritakan tentang sikap hamba-hamba pilihan Allah s.w.t
terhadap harta.
Saidina Abu Bakar as-Siddik
r.a menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu
dirham pun disimpannya. Bila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah
tidak ditinggalkan sedikit buat menguruskan keperluannya, beliau r.a menjawab,
“Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku”.
Abdul Rahman bin Auf yang
terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya
tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t. Salman al-Farisi ketika
memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam
daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijualnya dan apa
yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai
modal pusingan, satu bahagian buat belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi
disedekahkan kepada golongan miskin.
Imam as-Syafi’e r.a
sekembalinya ke Makkah dari Yaman telah dihadiahkan puluhan ribu wang emas.
Sebelum memasuki kota Makkah beliau telah mendirikan sebuah khemah di luar
kota. Dikumpulkan golongan fakir dan miskin dan disedekahkan kesemua wang yang
diterimanya sebagai hadiah itu. Setelah kesemua wang itu habis disedekahkan
baharulah beliau masuk ke kota Makkah.
Rabiatul Adawiah hanya menyimpan
sehelai tikar yang usang sebagai sejadah dan sebiji kendi buat mengisi air
untuk wuduknya. Beliau tidak menyimpan makanan untuk petangnya. Banyak lagi
kisah aulia Allah s.w.t yang menggambarkan bahawa tidak sebesar zarah pun hati
mereka terikat dengan harta. Mereka melihat pengidupan dunia ini hanyalah
persinggahan sebentar, tidak perlu mengambil bekalan.
Bagi orang yang masih dalam
perjuangan dan belum lagi sampai kepada Allah s.w.t, mereka tidak sanggup
berbuat sebagaimana yang dilakukan oleh aulia Allah s.w.t. Sungguhpun begitu
jika dibiarkan harta melekat pada hati akan membahayakan hati itu sendiri. Oleh
itu biasakanlah berpisah daripada harta yang disayangi agar rohani akan menjadi
lebih kuat dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:
Hendaklah orang yang
mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan
rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah
kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan
(sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam
kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah
berlakunya kesusahan. ( Ayat 7 : Surah at-Talaaq )
Oleh kerana bidang ekonomi merupakan
salah satu fardu kifayah yang perlu diuruskan demi kesejahteraan dan kekuatan
kaum muslimin, maka Allah s.w.t memilih dari kalangan kaum muslimin orang-orang
tertentu yang dipermudahkan bagi mereka mengembangkan ekonomi mereka. Allah
s.w.t bukakan bagi mereka pintu-pintu rezeki. Allah s.w.t kurniakan kepada
mereka rezeki yang melimpah-ruah. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan
menadah bekas dan rezeki dicurahkan ke dalam bekas mereka.
Orang yang menyedari harta
kekayaannya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka harta kekayaan itu menjadi ujian
baginya. Orang yang tidak menyedarinya pula, maka harta kekayaan itu menjadi
alat istidraj yang akan menghempapnya kelak. Baik ujian mahu pun istidraj,
orang yang memikul harta sebenarnya memikul beban yang sangat berat. Golongan
yang menghadapi hisab yang paling halus di akhirat kelak adalah mereka yang di
dunia memikul harta.
Walaupun memikul harta
merupakan beban yang berat tetapi sebahagian kaum muslimin perlu mengambil
tugas tersebut sebagaimana sebahagian kaum muslimin yang mengambil bidang jihad
fi-sabilillah dan mati syahid di medan perang. Dari kalangan nabi-nabi juga ada
yang memikul tugas yang berhubung dengan harta, misalnya Nabi Yusuf a.s, Nabi
Sulaiman a.s dan Nabi Daud a.s. Al-Quran menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s:
Dia (Yusuf) berkata:
“Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); kerana
sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara
mentadbirkannya”. (
Ayat 55 : Surah Yusuf )
Nabi Yusuf a.s mengetahui sifat
dirinya dan kebolehan yang ada dengannya. Beliau a.s telah menjalani kehidupan
yang membuatkan harta tidak sedikit pun menguasai hatinya. Beliau a.s juga
mengetahui kebolehan menguruskan harta yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya.
Demi kebaikan orang ramai Nabi Yusuf a.s menawarkan dirinya kepada raja untuk
memegang jawatan pengurus harta kekayaan kerajaan Mesir. Raja bersetuju dengan
permintaan Nabi Yusuf a.s itu dan beliau a.s membuktikan kewibawaan dan
kebijaksanaan beliau a.s dalam bidang tersebut.
Nabi Sulaiman a.s juga
menguruskan kekayaan dan kekuasaan. Beliau a.s mempunyai sifat-sifat yang
terpuji. Allah s.w.t memanggil hamba-Nya, Sulaiman a.s, sebagai sebaik-baik
hamba. Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s menguruskan kekayaan dan kekuasaan
atas dasar kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan Kami telah
kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman; ia adalah
sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali
(bertaubat). ( Ayat 30 : Surah Saad
)
Nabi Sulaiman a.s bermohon
kepada Allah s.w.t agar dikurniakan kepada beliau a.s kerajaan yang besar.
Kedua-dua mereka, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s, meminta untuk
menguruskan bidang berkenaan. Ternyata bahawa orang yang boleh menguruskan
dengan adil bidang berkenaan adalah orang yang benar-benar mengenali dirinya,
mempunyai keyakinan yang teguh, hati yang bulat dan sifat kehambaan yang
sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t.
Dia (Sulaiman)
berkata: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku
sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada
sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah
Kurnia-Nya”. ( Ayat 35 : Surah Saad
)
Sesiapa yang ditakdirkan
menguruskan bidang kekayaan dan kekuasaan perlulah menjalankan amanah Allah
s.w.t itu atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.
0 comments:
Post a Comment