JANGAN MENGHAIRANKAN
KAMU LANTARAN TERJADI KEKERUHAN KETIKA KAMU BERADA DI DALAM DUNIA KERANA
SESUNGGUHNYA KEKERUHAN ITU TIDAK TERJADI MELAINKAN KERANA BEGITULAH YANG PATUT
TERJADI DAN ITULAH SIFATNYA (DUNIA) YANG ASLI.
Hikmat yang lalu menyingkap halangan
secara umum dan Hikmat ini mengkhususkan kepada dunia sebagai
hijab yang menutupi pandangan hati terhadap Allah s.w.t. Halangan inilah yang
banyak dihadapi oleh manusia. Manusia menghadapi peristiwa yang berlaku di
dalam dunia dengan salah satu dari dua sikap iaitu sama ada mereka melihat apa
yang terjadi adalah akibat perbuatan makhluk ataupun mereka memandangnya
sebagai perbuatan Tuhan. Hikmat ini menjuruskan kepada golongan yang melihat
peristiwa yang berlaku dalam dunia sebagai perbuatan Tuhan tetapi mereka tidak
dapat melihat hikmat kebijaksanaan Tuhan dalam perbuatan-Nya.
Manusia yang telah memperolehi
keinsafan dan hatinya sudah beransur bersih, dia akan cenderung untuk mencari
kesempurnaan. Dia sangat ingin untuk melihat syariat Allah s.w.t menjadi yang
termulia di atas muka bumi ini. Dia sangat ingin melihat umat Nabi Muhammad
s.a.w menjadi pemimpin kepada sekalian umat manusia. Dia ingin melihat semua
umat manusia hidup rukun damai Dia inginkan segala yang baik-baik dan sanggup
berkorban untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia. Begitulah sebahagian
daripada keinginan yang lahir di dalam hati orang yang hatinya sudah beransur
bersih. Tetapi, apa yang terjadi adalah kebalikan daripada apa yang menjadi
hasrat murni si hamba Allah s.w.t yang insaf itu. Huru hara berlaku
dimana-mana. Pembunuhan berlaku di sana sini. Umat Islam ditindas di merata
tempat. Kezaliman dan ketidak-adilan berlaku dengan berleluasa. Seruan kepada
kebaikan tidak diendahkan. Ajakan kepada perdamaian tidak dipedulikan.
Perbuatan maksiat terus juga dilakukan tanpa segan-silu.
Si hamba tadi melihat kekeruhan yang
terjadi di dalam dunia dan merasakan seperti mata tombak menikam ke dalam
hatinya. Hatinya merintih, “Agama-Mu dipermainkan, di manakah pembelaan dari-Mu
wahai Tuhan! Umat Islam ditindas, di manakah pertolongan-Mu Wahai Tuhan! Seruan
kepada jalanMu tidak disambut, apakah Engkau hanya berdiam diri wahai Tuhan!
Manusia melakukan kezaliman, kemaksiatan dan kemunkaran, apakah Engkau hanya
membiarkan wahai Tuhan?” Beginilah keadaan hati orang yang berasa hairan
melihat kekeruhan kehidupan dunia ini dan dia tidak berkuasa menjernihkannya.
Allah s.w.t menjawab keluhan hamba-Nya dengan firmanNya:
Dan (ingatlah) ketika
Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang
khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan
berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang
yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal
kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman:
“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Para malaikat sudah dapat
membayangkan tentang kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa
manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat dunia yang dinyatakan
oleh malaikat ialah huru-hara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu sementara
huru-hara dan pertumpahan darah adalah anaknya. Ibu tidak melahirkan kecuali
anak dari jenisnya juga. Kelahiran huru-hara, peperangan, pembunuhan dan
sebagainya di dalam dunia adalah sesuatu yang seharusnya terjadi di dalam
dunia, maka tidak perlu dihairankan. Jika terdapat kedamaian dan keharmonian di
sana sini di dalam dunia, itu adalah sagu-hati atau kelahiran yang tidak
mengikut sifat ibunya. Seterusnya Allah s.w.t menceritakan tentang dunia:
Allah berfirman,
“Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi
setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan
juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )
Allah berfirman lagi :
“Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu
akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”. ( Ayat 25 : Surah al-A’raaf)
Tiap-tiap yang
bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan
dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat
kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya. ( Ayat 185 : Surah a-li
‘Imraan )
Allah s.w.t menerangkan dengan
jelas tentang sifat-sifat dunia yang dihuni oleh manusia. Manusia bermusuhan
sesama sendiri, saling rosak merosakkan dan kesenangannya adalah tipu daya.
Segala perkiraan dan pembalasan yang berlaku di dalam dunia ini tidak sempurna.
Manusia dibahagikan kepada dua
golongan iaitu yang beriman dan yang tidak beriman. Golongan yang tidak beriman
menerima upah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia ini lagi
dan di akhirat kelak mereka tidak boleh menuntut apa-apa lagi dari Tuhan.
Janganlah menghairankan dan mendukacitakan sekiranya Tuhan membalas kebaikan
mereka ketika mereka masih hidup di dalam dunia dengan memberikan kepada mereka
berbagai-bagai kelebihan dan kemewahan. Mereka tidak berhak lagi menuntut
nikmat akhirat dan tempat kembali mereka di sana kelak ialah neraka jahanam.
Begitu juga janganlah menghairankan dan mendukacitakan sekiranya orang-orang
yang beriman dan beramal salih terpaksa menghadapi penderitaan dan penghinaan
semasa hidup di dunia. Dunia ini tidak layak menjadi tempat buat Allah s.w.t
membalas kebaikan mereka. Balasan kebaikan dari Allah s.w.t sangat tinggi
nilainya, sangat mulia dan sangat agung, tidak layak dimuatkan di dalam dunia
yang hina dan rendah ini. Dunia hanyalah tempat hidup, beramal dan mati. Bila
berlaku kiamat kita akan dibangkitkan dan menunggu kita adalah negeri yang
abadi.
Sumber: Kitab Al-Hikam
Karya: Ibnu Ato'illah Al-Asykandari
0 comments:
Post a Comment