DIKURNIAKAN PETUNJUK
KEPADA ORANG-ORANG YANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T DENGAN NUR-NUR TAWAJJUH
(MENGHADAP ALLAH S.W.T) DAN BAGI ORANG YANG TELAH SAMPAI BAGI MEREKA IALAH
NUR-NUR AL-MUWAAJAHAH (MUSYAHADAH ATAU SALING BERHADAPAN ANTARA HAMBA DENGAN
ALLAH S.W.T). MEREKA YANG PERTAMA ITU ADALAH UNTUK NUR-NUR, SEDANGKAN MEREKA
YANG TELAH SAMPAI ADALAH NUR-NUR ITU BUAT MEREKA LANTARAN MEREKA INI ADALAH
KERANA ALLAH S.W.T BUKAN KERANA SESUATU SELAIN-NYA. KATAKANLAH: “ALLAH!”
KEMUDIAN BIARKAN MEREKA (ORANG RAMAI) BERMAIN-MAIN DALAM KESESATAN.
Hikmah ini menceritakan keadaan
dua golongan yang dipanggil sebagai ahli tawajjuh dan ahli musyahadah. Ahli
tawajjuh adalah orang salih yang berpegang teguh kepada syariat Allah s.w.t dan
biasanya digelar ahli syariat. Orang salih atau ahli syariat melihat dirinya
sebagai satu individu yang berkedudukan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia
berkewajipan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan menjauhkan segala
larangan-Nya. Dia melaksanakan amal kebaikan dengan ikhlas, tidak didorong oleh
riak dan ujub, tidak berbuat sama’ah dan tidak menyombong dengan amal tersebut.
Allah s.w.t memberkati amal ibadat yang demikian dan mengurniakan kepada mereka
Nur Tawajjuh. Nur yang demikian membuat mereka merasa damai dan tenang serta bertambah
rasa kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan
ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak ibadat yang mereka
lakukan semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan berhadap kepada Allah
s.w.t) dan semakin mereka merasa kelazatan beribadat. Mereka bukan sahaja
meninggalkan perkara yang haram tetapi juga yang mubah. Banyak daripada perkara
yang halal ditinggalkan bagi menjaga agar mereka tidak terdorong mendekati yang
haram, apa lagi melakukannya. Inilah sifat ahli syariat, memakai pakaian warak
dan berjalan dengan Nur Tawajjuh.
Golongan kedua ialah ahli
musyahadah, biasanya dipanggil ahli hakikat. Ahli hakikat ialah orang yang
mencapai hakikat syariat dan tauhid sehingga tidak melihat lagi sesuatu kecuali
Allah s.w.t. Mereka menyaksikan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha
Berdiri Dengan Sendiri, Maha Mentadbir dan Maha Menentukan. Mereka menyaksikan
sifat Allah Yang Maha Sempurna dan Kekal. Pandangan mereka hanya tertumpu
kepada Allah Azza wa Jalla. Segala yang maujud tidak memberi bekas pada hati
mereka, hanya Wujud Allah s.w.t yang menguasainya, terjadilah musyahadah iaitu
saling berhadapan. nur-nur al-muwaajahah meleburkan hijab yang menutupi alam
maujud lalu mata hati melihat kepada Yang Tersembunyi disebalik yang nyata.
Hamba melihat Rahsia Tuhan yang selama ini terhijab oleh Alam al-Mulk (alam
kejadian) dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya. Terbukalah kepada
si hamba rahsia Alam Malakut dan nyatalah kedudukan hamba sebagai ayat atau
tanda wujud. Hamba melihat ketuhanan Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu
dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya meliputi ilmunya, ahwalnya dan
hatinya.
Allah s.w.t bukakan tabir
hijab agar mata hati hamba-Nya dapat menyaksikan kerajaan-Nya yang meliputi
yang nyata dan juga yang ghaib.
Dan demikianlah Kami
perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di
bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan
sepenuh-penuh yaqin. (
Ayat 75 : Surah al-An’aam )
Dan janganlah engkau
menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia.
Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. ( Ayat 88 : Surah al-Qasas )
Ada perbezaan pandangan di
antara ahli syariat dan ahli hakikat. Ahli syariat berjihad membunuh
musuh-musuh Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya, moga-moga Allah s.w.t
mengurniakan kepada mereka nur-nur yang membawa mereka hampir kepada-Nya. Ahli
hakikat pula ketika berjihad dan membunuh mereka melihat kepada firman Allah
s.w.t:
Maka bukanlah kamu
yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan
mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau
melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan
orang-orang kafir). (
Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Orang-orang yang sampai kepada Allah
s.w.t berkecimpung dalam nur-nur kerana:
Allah yang menerangi
langit dan bumi. (
Ayat 35 : Surah an-Nur )
Nurullah menjadi jelas nyata pada
penglihatan mata hati ahli musyahadah. Kewujudan langit dan bumi tidak
menghijab mata hati mereka. Tidak mungkin terlihat langit dan bumi
jika Nurullah tidak menerangi keduanya.
Sumber: tarjamah kitab Al-Hikam
Karya: Ibnu Ato'illah Al-Asykandari
0 comments:
Post a Comment