JANGAN SAMPAI
MERAGUKAN KAMU TERHADAP JANJI ALLAH KERANA TIDAK TERLAKSANA APA
YANG TELAH DIJANJIKAN, MESKIPUN TELAH TERTENTU (TIBA) MASANYA,
SUPAYA KERAGUAN ITU TIDAK MEROSAKKAN MATA HATI KAMU DAN TIDAK MEMADAMKAN CAHAYA
SIR (RAHSIA ATAU BATIN) KAMU.
Doa dan janji Allah s.w.t berkait
rapat. Allah s.w.t menjanjikan untuk menerima semua doa. Hamba sudah sangat
kuat dan kerap berdoa. Hamba mendoakan agar diselamatkan daripada sesuatu
musibah. Masa musibah itu sampai sudah tiba tetapi keselamatan daripadanya
tidak tiba. Timbul keraguan dalam hati hamba itu tentang janji-janji Allah
s.w.t.
Sebahagian orang beriman diuji
dengan penerimaan atau penolakan doa dan sebahagian yang lain diuji dengan
tertunai atau tertahan janji Allah s.w.t. Janji Allah s.w.t ada dalam bentuk
umum dan ada dalam bentuk khusus. Janji umum banyak terdapat di dalam al-Quran
seperti janji syurga terhadap orang yang berbuat kebajikan, janji neraka
terhadap orang yang derhaka, janji ketinggian darjat bagi orang yang berjihad
pada jalan Allah s.w.t, janji kekuasaan di atas muka bumi terhadap orang yang
beriman dan beramal salih dan lain-lain lagi. Di dalam surah an-Nisaa’ ayat 95
Allah s.w.t menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang yang berjihad pada
jalan-Nya. Dalam surah an-Nur ayat 55 Allah s.w.t menjanjikan kepada orang yang
beriman dan beramal salih bahawa mereka akan dijadikan khalifah di bumi, Dia
akan teguhkan agama mereka dan Dia akan hilangkan ketakutan mereka.
Banyak lagi janji Allah s.w.t
yang boleh ditemui di dalam al-Quran. Janji-janji Allah s.w.t secara umumnya
berkaitan dengan amal, sesuai dengan sunnatullah yang menguasai perjalanan
kehidupan. Ada juga janji secara khusus kepada orang-orang tertentu, misalnya
melalui mimpi atau suara ghaib. Orang yang beriman dengan Allah s.w.t percaya
kepada janji-janji-Nya. Janji Allah s.w.t menjadi pendorong kepada mereka untuk
bekerja kuat, beramal salih dan berjihad pada jalan-Nya. Allah s.w.t tidak
sekali-kali akan memungkiri janji-janji-Nya. Di dalam golongan yang percaya
kepada janji-janji Allah s.w.t itu ada sebilangan yang berpenyakit seperti yang
dihidapi oleh sebilangan orang yang berdoa kepada Allah s.w.t. Orang yang
berdoa membuat tuntutan dengan doanya dan orang yang percaya kepada janji Allah
s.w.t membuat tuntutan dengan amalnya, kerana Allah s.w.t berjanji memberinya
sesuatu menurut amalannya.
Hikmat ketujuh mengaitkan
janji Allah s.w.t dengan mata hati dan Nur Sir (Rahsia atau batin).
Persoalan mata hati telah disentuh pada Hikmat ke lima. Penyingkapan rahsia
mata hati menemukan kita dengan persoalan diri zahir, diri batin dan seterusnya
kepada persoalan roh. Suluhan mata hati membawa kepada pengenalan terhadap Alam
Barzakh dan keabadian. Mata hati yang kuat tidak berhenti setakat Alam Barzakh,
malah ia menghala kepada peringkat alam yang lebih tinggi yang dinamakan Alam
Malakut Atas. Pandangan mata hati seterusnya sampai kepada kulit alam yang
dinamakan Arasy Yang Meliputi. Semua makhluk Allah s.w.t menghuni ruang yang di
dalam atau dibatasi oleh kulit atau kerangka alam, iaitu Arasy. Tidak ada
mahluk yang wujud di luar dari kulit alam. Walaupun kulit alam merupakan
kejadian Tuhan yang paling luar namun, mata hati tidak berhenti setakat itu.
Mata hati terus meneroka ‘di luar’ dari kulit alam, yang dipanggil Wujud
ketuhanan. Di sini timbul persoalan berat dan rumit untuk dihuraikan. Semua
kejadian berada di dalam kulit alam. Kulit alam adalah yang terakhir. Apabila
sampai kepada kulit alam tidak boleh lagi dikatakan wujud alam ketuhanan di
luar, selepas, di sebalik dan istilah-istilah lain, kerana tidak ada apa-apa
lagi. Kewujudan ketuhanan bukanlah satu jenis alam lain. Tidak boleh dikatakan
wujud alam ketuhanan selepas alam kita ini. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri,
tidak menempati ruang. Jika demikian persoalannya bagaimanakah yang dikatakan
ketuhanan sedangkan kita sudah menjelajah ke seluruh alam maya namun, Allah
s.w.t tidak juga ditemui?
Antara alam yang sementara
dengan alam abadi terdapat Alam Barzakh. Barzakh adalah sempadan. Barzakh
itulah yang menghubungkan dua keadaan yang berbeza. Misalnya, barzakh bagi laut
dan sungai ialah kuala. Air laut adalah masin dan air sungai adalah tawar. Air
pada barzakh keduanya iaitu kuala adalah sebatian masin dengan tawar yang
dinamakan payau. Payau bukan masin dan bukan lain daripada masin. Payau juga
bukan tawar dan bukan lain daripada tawar. Kuala bukan laut dan bukan sungai
dan bukan juga lain daripada laut dan sungai. Jika mahu lihat laut dan sungai
dengan sekali pandang atau sebagai satu kewujudan maka lihatlah kepada kuala.
Jika mahu merasai masin dan tawar sekaligus maka rasailah air payau.
Jika terdapat barzakh di
antara makhluk dengan makhluk, terdapat juga barzakh di antara Tuhan dengan
makhluk. Barzakh inilah yang menjadi penghubung di antara Tuhan dengan hamba.
Tanpa barzakh ini tidak mungkin berlaku kewujudan makhluk yang diciptakan Tuhan
kerana tidak ada talian atau jambatan yang menghubung. Barzakh di antara Allah
s.w.t dengan hamba itu dinamakan Sir atau Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t,
yang hanya Allah s.w.t yang mengetahui hakikatnya yang sebenar. Rahsia inilah
yang memungkinkan ada hubungan di antara Pencipta dengan yang di cipta. Sir
atau Rahsia itu memancarkan nurnya kepada mata hati. Mata hati yang bersuluhkan
Nur Sir (rahsia ketuhanan) akan mendapat pengenalan tentang Sir dan mengalami
suasana tauhid peringkat yang tertinggi. Apabila hakikat Sir ditemui
nyatalah firman Allah s.w.t:
- Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, - ( Ayat 16 : Surah Qaaf )
- Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
- “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )
- Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. ( Ayat 29 : Surah at-Takwiir)
Tiada daya dan upaya
kecuali beserta Allah.
Apa yang ada pada kita semuanya
adalah kurniaan dari Allah s.w.t. Kemahuan kita untuk melakukan amal salih
datangnya dari Iradat Allah s.w.t, tanpa Iradat Allah s.w.t kita akan menjadi
dungu, tidak berkemahuan. Apabila kita melakukan amal kebaikan, kita tidak
terlepas daripada menggunakan daya dan upaya yang datangnya dari Allah s.w.t.
Tanpa Kudrat Allah s.w.t kita tidak mampu bergerak. Kebolehan kita untuk berdoa
dan beramal adalah kurniaan daripada Allah s.w.t.
Mereka mengira dirinya
berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak
melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Jangan kamu mengira
keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu
sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada
kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang dakwakan itu),
kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya). ( Ayat 17
: Surah al-Hujuraat )
Kehendak dan perbuatan
kita adalah anugerah daripada Allah s.w.t. Jadi, apakah hak kita untuk menuntut
Allah s.w.t dengan doa dan amal kita. Memang benar Allah s.w.t berjanji untuk
mengabulkan semua doa dan mengurniakan sesuatu menurut amalan. Tetapi, tidak
ada makhluk-Nya yang layak menagih janji tersebut. Janji Allah s.w.t kembali
kepada diri-Nya Sendiri. Jangan cuba-cuba menuntut janji Allah s.w.t kerana
andainya Dia menuntut kamu dengan amanah yang dipertaruhkan kepada kamu nescaya
semua amalan kamu akan hancur berterbangan seperti debu, tidak ada walau
sebesar zarah pun yang layak dipersembahkan kepada-Nya apabila kamu dihadapkan
kepada keadilan-Nya.
Lantaran itu berteduhlah di
bawah payung rahmat dan keampunan-Nya, jangan diungkit-ungkit tentang amal kamu
dan janji-Nya. Contohilah akhlak Rasulullah s.a.w yang telah menerima janji
Allah s.w.t iaitu baginda s.a.w telah bermimpi memasuki kota Makkah. Kaum
muslimin percaya bahawa mimpi Rasulullah s.a.w adalah mimpi yang benar dan
mereka yakin bahawa itu adalah janji Allah s.w.t kepada Rasul-Nya, yang Dia
mengizinkan mereka bersama-sama memasuki kota Makkah sekalipun musyrikin
Quraisy masih menguasai kota tersebut. Kaum muslimin berangkat dari Madinah ke
Makkah. Rombongan mereka dihadang sebelum sampai di Makkah. Kaum musyrikin
enggan membenarkan kaum muslimin memasuki Makkah. Ekoran dari peristiwa itu
termetrailah Perjanjian Hudaibiah. Rasulullah s.a.w bersetuju agar kaum
muslimin tidak memasuki Makkah pada tahun itu. Saidina Umar al-Khattab r.a
yakin akan mimpi Rasulullah s.a.w. Beliau r.a juga percaya bahawa mimpi
Rasulullah s.a.w itu adalah janji Allah s.w.t mengizinkan mereka memasuki kota
Makkah. Beliau r.a juga yakin bahawa lantaran janji Allah s.w.t adalah benar
maka bertegas memasuki Makkah walaupun dengan cara berperang adalah tindakan
yang benar. Beliau r.a menganjurkan agar berperang supaya kebenaran mimpi
Rasulullah s.a.w dan kebenaran janji Allah s.w.t menjadi kenyataan. Iman Umar
r.a yang sangat mendalam membuatnya mahu maju terus menurut petunjuk yang
sampai kepada beliau r.a. tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri. Saidina Abu
Bakar as-Siddik yang Nur Sirnya lebih sempurna daripada Nur Sir Umar r.a
bersikap menyetujui tindakan Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah.
Melalui suluhan Nur Sirnya Abu Bakar r.a dapat menyaksikan apa yang terlindung
dari pandangan mata hati Umar r.a.
Kemudian ternyata perjanjian
tersebut banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin. Ternyata kebijaksanaan
Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah dan kebenaran pandangan mata
hati Abu Bakar r.a melalui pancaran Nur Sirnya. Sesuai dengan Perjanjian
Hudaibiah, pada tahun berikutnya kaum muslimin dapat memasuki kota suci
Makkah secara aman. Benarlah apa yang dimimpikan oleh Rasulullah s.a.w dan
benarlah janji Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menerima janji Allah s.w.t sebagai
satu kurniaan yang wajib diyakini dengan cara bertawakal kepada Allah s.w.t
dalam pelaksanaannya. Bila terjadi sesuatu yang pada zahirnya menghalang
pelaksanaan janji Allah s.w.t itu Rasulullah s.a.w tidak menagih Allah s.w.t
dengan janji tersebut, sebaliknya baginda s.a.w mengembalikannya kepada Allah
s.w.t. Sebagai balasan terhadap kerelaan menerima takdir Allah s.w.t maka Allah
s.w.t kurniakan pula Perjanjian Hudaibiah yang banyak membantu
perkembangan dakwah Islam. Allah s.w.t juga tidak sekali-kali melupakan
janji-Nya mengizinkan kaum muslimin menziarahi tanah suci Makkah, dengan
rahmat-Nya kaum muslimin memasuki kota Makkah pada tahun berikutnya dalam
suasana aman. Jadi, apabila janji Allah s.w.t dikembalikan kepada Allah
s.w.t maka Allah s.w.t melaksanakannya.
Peristiwa di atas memberi pengajaran
kepada kita tentang Sir. Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a melebihi
sahabat-sahabat yang lain lantaran Sirnya, iaitu Rahsia pada hati nuraninya
yang menghubungkannya dengan Allah s.w.t. Sir yang menguasainya itulah yang
menjadikannya as-Siddik. Beliau r.a dapat membenarkan kebenaran Nabi Muhammad
s.a.w tanpa usul. Beliau r.a membenarkan peristiwa Israk dan Mikraj ketika
kebanyakan kaum Quraisy menafikannya. Abu Bakar r.a bukanlah seorang dungu yang
bertaklid secara membuta tuli. Tetapi, apa yang sampai kepadanya diakui oleh
Sirnya yang memperolehi pengesahan daripada Allah s.w.t. Cahaya kebenaran yang
keluar daripada Rasulullah s.a.w dan cahaya kebenaran yang keluar dari Sir Abu
Bakar r.a adalah sama, sebab itulah Abu Bakar r.a membenarkannya tanpa usul dan
tanpa meminta bukti. Bukti apa lagi yang diperlukan apabila Sir telah mendapat
jawapan daripada Allah s.w.t. Sir atau Rahsia Allah s.w.t itulah yang tidak
bercerai tanggal daripada Allah s.w.t, sentiasa menghadap kepada Allah s.w.t
dan mendengar Kalam Allah s.w.t. Sir itulah yang mengenal Allah s.w.t
Kemurnian Sir Abu Bakar as-Siddik
r.a ternyata lagi ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Umar r.a yang dikuasai
oleh iman yang sangat kuat yang melahirkan cinta yang mendalam terhadap
Rasulullah s.a.w, Kekasih Allah s.w.t, dikuasai kecintaan itu, beliau r.a mahu
memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan Rasulullah s.a.w sudah wafat.
Tetapi, Abu Bakar r.a, yang kecintaannya terhadap Rasulullah s.a.w mengatasi
kecintaan Umar r.a mampu mengatakan, “Sesiapa yang menyembah Muhammad maka
sesungguhnya Muhammad sudah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah s.w.t maka
Allah s.w.t tidak akan wafat selama-lamanya!” Begitulah murninya cahaya atau
nur yang diterima oleh Abu Bakar r.a di dalam hatinya yang dipancarkan
oleh Sir. Tidak salah jika dikatakan sekiranya mahu memahami hakikat Sir maka
fahamilah diri Saidina Abu Bakar as- Siddik r.a. Mengenali beliau r.a membuat
seseorang mengenali tanda-tanda Sir.
Kalam Hikmah ketujuh ini memberi
panduan untuk memahami hakikat Sir. Tanda seseorang tidak mendapat sinaran Nur
Sir ialah dia meragui janji-janji Allah s.w.t lantaran dia mentakrif maksud
janji Allah s.w.t menurut seleranya sendiri. Bagaimana kedudukan kita terhadap
janji Allah s.w.t begitulah keadaan hati kita berhubung dengan Rahsia
Allah s.w.t atau Sir.
0 comments:
Post a Comment