MENUNDA AMAL KEBAIKAN
KERANA MENANTIKAN KESEMPATAN YANG LEBIH BAIK ADALAH TANDA KEBODOHAN.
Hikmat yang lalu memaparkan
kebodohan yang timbul kerana kejahilan tentang kekuasaan Tuhan. Hikmat 26 ini
pula memaparkan kebodohan yang timbul lantaran kelalaian. Orang yang mabuk
dibuai oleh ombak kelalaian tidak dapat melihat bahawa pada setiap detik pintu
rahmat Allah s.w.t sentiasa terbuka dan Allah s.w.t sentiasa berhadap kepada
hamba-hamba-Nya. Setiap saat adalah kesempatan dan tidak ada kesempatan yang
lebih baik daripada kesempatan yang memperlihatkan dirinya kepada kita.
Kesempatan yang paling baik ialah kesempatan yang kita sedang berada di
dalamnya.
Kelalaian adalah buah kepada
panjang angan-angan. Panjang angan-angan pula datangnya dari pokok kurang
ingatan kepada mati. Jadi, ubat yang paling mujarab untuk mengubati penyakit
kelalaian ialah memperbanyakkan ingatan kepada mati. Apabila ingatan kepada
mati sudah kuat maka seseorang itu tidak akan mengabaikan kesempatan yang ada
baginya untuk melakukan amal salih.
Hikmah ini jika ditafsir
secara umum menganjurkan agar segala amal kebaikan hendaklah dilakukan dengan
segera tanpa bertangguh-tangguh. Jika diperhatikan Kalam-kalam Hikmat
yang lalu dapat difahamkan bahawa Hikmat yang dipaparkan berperanan membimbing
seseorang pada jalan kerohanian. Amal yang ditekankan adalah amal yang
berhubung dengan pembentukan rohani. Hikmat 27 nanti akan memperkatakan
tentang makam iaitu suasana kerohanian. Jadi, jika ditafsir secara khusus
Hikmat 26 ini menganjurkan bersegera melakukan amal-amal yang perlu bagi
menyediakan hati untuk menerima kedatangan hal-hal dan seterusnya mencapai
makam-makam. Amal yang berkenaan ialah latihan kerohanian menurut tarekat
tasauf. Latihan yang demikian harus disegerakan sebaik sahaja mendapat
kesempatan, tanpa menanti kedatangan kesempatan yang lain yang diharapkan lebih
baik dan lebih sesuai.
Ketika menjalani latihan
kerohanian secara tarekat tasauf kehidupan hanya dipenuhi dengan amal
ibadat seperti sembahyang, puasa, berzikir dan lain-lain Semua amalan tersebut
dilakukan bukan bertujuan untuk mengejar syurga tetapi semata-mata untuk
mendapatkan keredaan Allah s.w.t dan mendekatkan diri kepada-Nya. Amalan
seperti inilah yang membuka pintu hati untuk berpeluang mengalami hal-hal yang
membawa kepada hasil yang diharapkan iaitu makrifatullah. Sesiapa yang
benar-benar ingin mencari keredaan Allah s.w.t dan berhasrat untuk
menghampiri-Nya serta mengenali-Nya hendaklah jangan bertangguh-tangguh lagi.
Usah dicari kesempatan yang lebih baik. Jangan menjadikan masalah keduniaan
sebagai alasan untuk menunda tindakan bergiat mencari keredaan Allah s.w.t.
Bulatkan tekad, kuatkan azam, masuklah ke dalam golongan ahli Allah s.w.t yang
beramal dan bekerja semata-mata kerana Allah s.w.t. Benamkan diri sepenuhnya ke
dalam suasana ‘Allah’ semata-mata dan tinggalkan apa sahaja yang selain Allah
s.w.t buat seketika. Anggapkan latihan yang demikian seperti keadaan ketika
menunaikan fardu haji di Tanah Suci. Selama di Tanah Suci, segala-galanya
ditinggalkan di tanah air sendiri. Di hadapan Baitullah seorang hamba menghadap
dengan sepenuh jiwa raga kepada Tuhannya. Dia tidak khuatirkan keluarga, harta
dan pekerjaan yang ditinggalkan kerana semuanya sudah diserahkannya kepada
penjagaan Allah s.w.t. Allah s.w.t adalah Pemegang amanah yang paling
baik. Dia menjaga dengan sebaik-baiknya apa yang diserahkan kepada-Nya. Syarat
penyerahan itu adalah keyakinan.
Perlu juga dinyatakan bahawa
latihan kerohanian secara tarekat tasauf bukanlah
satu-satunya jalan kepada Allah s.w.t. Tujuan utama latihan secara tasauf
adalah untuk mendapatkan ikhlas dan penyerahan yang menyeluruh kepada Allah
s.w.t. Ikhlas dan penyerahan boleh juga diperolehi walaupun tidak menjalani
tarekat tasauf tetapi tanpa latihan khusus pembentukan hati
kepada suasana yang demikian adalah sukar dilakukan.
Jalan yang tidak ada latihan
khusus adalah jalan kehidupan harian. Pada jalan ini orang yang beriman perlu
bekerja kuat untuk menjalankan peraturan Islam dan mempertahankan iman.
Pancaroba dalam kehidupan harian sangat banyak dan orang yang beriman perlu
berjalan dicelah-celahnya, menjaga diri agar tidak tertawan dengan penggoda.
Kewaspadaan dalam kehidupan harian itu adalah sifat takwa. Orang yang bertakwa
adalah orang yang mulia pada sisi Allah s.w.t.
Walau jalan mana yang dilalui
matlamatnya adalah memperolehi ikhlas, berserah diri dan bertakwa.
0 comments:
Post a Comment